Selasa, 22 November 2022 | 8:42pm
- FOTO BERNAMA
- FOTO BERNAMA

BN buat dua mesyuarat malam ini - Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Bendahari Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, parti itu akan mengadakan dua mesyuarat malam ini, iaitu Dewan Tertinggi BN dan Ahli Parlimen BN.

Namun Ahli Parlimen Sembrong itu enggan mengulas agenda mesyuarat pada malam ini, yang dipercayai membincangkan pendirian BN dalam soal pelantikan Perdana Menteri ke-10 dan sokongan kepada gabungan mana membentuk kerajaan.

Ditanya sama ada akan menyatakan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Ke-10, Hishammuddin menjelaskan, sebarang ketetapan itu perlu dibuat berdasarkan keputusan dicapai gabungan berkenaan secara kolektif.

"Nanti kita tunggu selepas meeting (mesyuarat) malam ini. Terlalu awal untuk saya menyatakan sebarang pendirian. Dua meeting itu saya boleh sahkan, satu (Dewan Tertinggi) BN dan satu lagi (bersama) wakil rakyat," katanya.

Kedua-dua mesyuarat itu berlangsung di Ibu Pejabat UMNO dekat Menara Dato Onn di sini, pada jam 9 malam ini dan dipengerusikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Mesyuarat itu diadakan selepas 30 Ahli Parlimen BN sepakat memutuskan untuk berkecuali daripada menyokong mana-mana nama dicalonkan sebagai Perdana Menteri, selain bersedia untuk menjadi pembangkang.

Ahli Parlimen BN hari ini dilaporkan mengesahkan tidak menandatangani sebarang akuan bersumpah (SD) bagi menyokong nama calon Perdana Menteri dari Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

PH menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri mereka, sementara Tan Sri Muhyiddin Yassin dicalonkan bagi pihak PN.

Kemelut pelantikan Perdana Menteri ke-10 berlanjutan hingga kini, selepas tiada gabungan parti yang menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu memperoleh majoriti mudah 112 kerusi bagi membentuk kerajaan.

Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan 30 Ahli Parlimen BN untuk mengadap baginda di Istana Negara, esok.

Dalam satu kenyataan, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadli Shamsuddin berkata, sesi mengadap secara individu itu dijadualkan berlangsung pada jam 10.30 pagi.

Ia susulan Muhyiddin memaklumkan kepada baginda yang gabungan parti itu tidak mahu bekerjasama dengan PH, kerana pendirian itu menjadi prinsip gabungan terbabit sejak dulu.

Berita Harian X