KUALA LUMPUR : Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk mengadap baginda di Istana Negara, esok.
Dalam satu kenyataan, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadli Shamsuddin berkata, sesi mengadap secara individu itu dijadualkan berlangsung pada jam 10.30 pagi.
"Proses ini bertujuan supaya baginda dapat membuat keputusan bagi melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri seperti yang diperuntukkan mengikut Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan," katanya.
Justeru itu, beliau berkata, baginda juga meminta dan menasihati seluruh rakyat bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pelantikan bakal Perdana Menteri ke-10 selesai.
"Baginda turut meminta rakyat untuk bersama mendoakan semoga proses terbabit dipermudahkan dan berjalan lancar demi kepentingan tanah air yang tercinta.
"Baginda mengajak rakyat bersama mendoakan supaya negara dan rakyat sentiasa dirahmati, diberkati dan dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah," katanya.
Terdahulu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dititah untuk menghadap baginda di Istana Negara, di sini, jam 4.30 petang tadi.
Ahmad Fadil berkata, keputusan itu dibuat selepas tiada Ahli Dewan Rakyat memperoleh kepercayaan majoriti mudah 112 sokongan Ahli Parlimen untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.
Situasi itu berlaku, selepas 30 Ahli Parlimen BN sepakat memutuskan untuk berkecuali dari menyokong mana-mana nama yang dicalonkan sebagai Perdana Menteri, selain bersedia untuk menjadi pembangkang.
Ahli Parlimen BN yang ditemui di Menara Dato' Onn di sini juga mengesahkan tidak menandatangani sebarang akuan bersumpah (SD) bagi menyokong nama calon Perdana Menteri dari PH dan PN.
PH menamakan Anwar sebagai calon Perdana Menteri mereka, sementara Muhyiddin dicalonkan bagi pihak PN.
Kemelut pelantikan Perdana Menteri ke-10 berlanjutan hingga kini, selepas tiada gabungan parti yang menang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu mencukupi majoriti mudah 112 kerusi bagi membentuk kerajaan.
Situasi itu memaksa rundingan perlu dijalankan dengan gabungan dan parti yang memenangi jumlah kerusi Parlimen lebih kecil, bagi melengkapkan jumlah 112 kerusi Parlimen.
Pada PRU ke-15 Sabtu lalu, PH memperoleh kemenangan jumlah kerusi Parlimen tertinggi iaitu 82 kerusi, diikuti PN (73), BN (30), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Parti Warisan Sabah (tiga), bebas (dua) serta masing-masing satu kerusi dimenangi Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).