MELAKA: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa susulan penahanan seorang lelaki bersama sejumlah dadah syabu berat kira-kira 23 kilogram bernilai RM834,768, tengah malam tadi.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, serbuan dilakukan sepasukan 18 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 6 Johor di tepi jalan di kawasan Pulau Melaka, kira-kira jam 12.10 tengah malam.
Menurutnya, ketika ditahan suspek warga tempatan berasal dari Johor dan berusia 50 tahun itu sedang menunggu di dalam kereta Proton Saga BLM.
"Suspek cuba melepaskan diri namun berjaya diberkas anggota serbuan dan pemeriksaan lanjut polis menemui tiga beg galas berwarna hitam dan celoreng di dalam but kereta itu.
"Pemeriksaan lanjut didapati beg galas hitam itu mengandungi tujuh bungkusan teh Cina berwarna kuning berisi dadah syabu berat kasar, 7.38 kilogram (kg).
"Dua lagi beg celoreng berisi tujuh dan lapan bungkusan teh Cina berwarna kuning mengandungi dadah syabu anggaran berat 7.38 kg dan 8.34 kg," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di IPK Melaka hari ini yang turut dihadiri Timbalan Komander Briged Tengah PGA, Asisten Komisioner (ACP), Chew Tham Soon, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit dan Ketua JSJN negeri, Superintendan Hairy Ramlan.
Mengulas lanjut, Zainol berkata, siasatan polis mendapati bekalan dadah itu dibawa dari Lembah Klang dan suspek disyaki bertindak sebagai penghantar.
"Penahanan suspek dibuat hasil risikan selama sebulan dan bekalan dadah itu adalah untuk pasaran luar negara dan boleh digunakan oleh 115,720 penagih.
"Ini adalah tangkapan pertama di kawasan Pulau Melaka. Kita juga masih menyiasat berhubung peranan suspek yang juga penganggur dan serta saki-baki sindiket itu, selain ujian air kencingnya juga negatif.
"Suspek direman tujuh hari mulai hari ini hingga 28 November depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga seumur hidup. Jika tidak dihukum mati, boleh dikenakan 15 sebatan minimum jika disabitkan," katanya.
Katanya, semakan rekod mendapati suspek memiliki rekod lambau mengikut Seksyen 48 (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 39B Akta Imigresen 1963, Seksyen 56(1) Akta Imigresen 1959 dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan 1958.
Ditanya mengenai modus operandi suspek, Zainol tidak menolak sindiket dadah beralih ke kawasan di Pulau Melaka daripada lokasi lazim di kawasan pantai seperti di sekitar Tanjung Kling.