KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Khaidhirah Abu Zahar menyokong syor Barisan Nasional (BN) berperanan sebagai pembangkang dalam kerajaan baharu yang bakal ditubuhkan.
Beliau berkata, langkah itu perlu bagi menghormati keputusan rakyat yang menolak BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
"Selepas dua hari PRU15 melabuhkan tirai, tiada mana-mana parti boleh membentuk kerajaan. Kita sudah mendengar suara rakyat di kotak undi. Jelas dalam PRU15, majoriti rakyat tidak mahu BN sebagai kerajaan.
"Demi menghormati mandat rakyat, adalah lebih baik bagi BN kekal sebagai pembangkang," katanya melalui hantaran dimuat naik dalam media sosial.
Khaidirah yang lebih dikenali sebagai Dira yakin BN mampu menjadi pembangkang berwibawa dan menjalankan tugas dengan baik.
"Menjadi pembangkang yang baik adalah tanggungjawab yang perlu digalas untuk melakukan semak dan imbang," katanya.
Khaidirah berkata, BN tidak wajar dibebankan untuk memilih kerajaan yang perlu dibentuk termasuk memutuskan Ahli Dewan Rakyat yang layak menjadi calon Perdana Menteri ke-10.
"Dua blok terbesar rakyat memilih Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).
"Justeru, menjadi tanggungjawab mereka untuk memutuskan bentuk kepimpinan negara bagi lima tahun seterusnya," katanya.
PRU15 menyaksikan BN mengalami kekalahan teruk selepas PRU14 apabila hanya menang 30 kerusi Parlimen berbanding pencabarnya, PH yang memperoleh 82 kerusi dan PN sebanyak 73 kerusi.