Selasa, 22 November 2022 | 4:53pm
Penyokong Anwar berkumpul di pekarangan Pintu 2 Istana Negara. - NSTP/Hazreen Mohamad
Penyokong Anwar berkumpul di pekarangan Pintu 2 Istana Negara. - NSTP/Hazreen Mohamad

Lebih 100 penyokong PH banjiri pekarangan pintu Istana Negara, laung 'reformasi'

KUALA LUMPUR: Lebih 100 penyokong Pakatan Harapan (PH) mula membanjiri pekarangan Pintu Dua Istana Negara di sini, petang ini, sambil melaungkan slogan 'reformasi'.

Laungan itu bergema apabila kenderaan membawa Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, tiba di pintu sama.

Pemimpin terbabit dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berhubung isu calon Perdana Menteri ke-10.

Dalam pada itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin juga memasuki Pintu Dua Istana Negara pada jam 4.08 petang.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah menitahkan Muhyiddin dan Anwar menghadap baginda di Istana Negara pada jam 4.30 petang tadi, berikutan tiada Ahli Dewan Rakyat memperoleh kepercayaan majoriti mudah 112 untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, dalam satu kenyataan berkata baginda turut meminta supaya rakyat bersabar dan bertenang hingga proses pembentukan kerajaan baharu serta pencalonan Perdana Menteri ke-10 selesai.

Beliau berkata, Al-Sultan Abdullah mendapati tiada sokongan majoriti diperoleh selepas baginda melaksanakan proses pengesahan terhadap sokongan yang diserahkan kepada Istana Negara oleh ketua parti dan gabungan politik.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, ketika dihubungi Harian Metro berkata pihaknya akan meningkatkan kawalan keselamatan susulan kehadiran penyokong PH berkumpul di hadapan pintu istana berkenaan.

Berita Harian X