Selasa, 22 November 2022 | 4:16pm
Rakyat menunaikan tanggungjawab mengundi pada PRU15. - NSTP/EFFENDY RASHID
Rakyat menunaikan tanggungjawab mengundi pada PRU15. - NSTP/EFFENDY RASHID

Pemimpin mesti memikirkan agenda dan masa depan bersama

KUALA LUMPUR: Tarikh 19 November 2022 amat bersejarah bagi kita. Kita mengundi untuk kerajaan yang lebih stabil selepas pelbagai ketidakstabilan dalam tiga, empat tahun kebelakangan ini.

Namun demikian, selepas semua undi dikira, kita dimaklumkan berlaku pecahan tidak seimbang. Hasilnya ialah Parlimen tergantung tanpa ada mana-mana pihak mendapat majoriti. Tiada gabungan mendapat majoriti mudah sekurang-kurangnya 112 kerusi.

Petugas media berkampung di luar perkarangan Pintu 2 Istana Negara membuat liputan pelantikan Perdana Menteri dan pembentukan kerajaan baharu. FOTO NSTP/AIZUDDIN SAAD
Petugas media berkampung di luar perkarangan Pintu 2 Istana Negara membuat liputan pelantikan Perdana Menteri dan pembentukan kerajaan baharu. FOTO NSTP/AIZUDDIN SAAD

Beralih ke 20 November, kerajaan belum dapat dibentuk. Semua gabungan diberi tempoh hingga jam 2 petang Isnin untuk membentuk persefahaman dan kemudian ditangguh kepada jam 2 petang hari berikutnya.

Seperti lazimnya, beberapa dakwaan memiliki sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan kedengaran di sana sini. Semuanya segera ditepis kerana tiiada kesahihan. Malah, netizen turut merangka teori masing-masing kerana semakin letih menunggu dan bosan dengan ketidaktentuan berpanjangan.

Lebih menyeksakan ialah pendirian beberapa pemimpin yang tidak jauh berbeza dengan kelompok 'Napoleon kecil' yang biasa kita lihat dan menyatakan keengganan bekerja dengan pihak tertentu.

Mereka adalah pemimpin sama yang sebelum PRU15 lalu, menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap konsep

'Keluarga Malaysia' dan tidak berparti. Apakah kenyataan itu sekadar retorik untuk memastikan bilangan undi mencukupi? Di mana sikap kenegaraan pemimpin kita? Apakah wakil rakyat ini sudah melupakan agenda bersama untuk negara?

Seorang kanak-kanak menemani ibu bapanya mengundi. - NSTP/EFFENDY RASHID
Seorang kanak-kanak menemani ibu bapanya mengundi. - NSTP/EFFENDY RASHID

Rakyat nyata keliru dengan rundingan demi rundingan yang dilakukan dalam kalangan parti untuk membentuk kerajaan. Mana perginya laungan demi masa depan bersama sebelum ini?

Ini pertama kali negara berada dalam situasi Parlimen tergantung seperti ini. Bagaimanapun, ia tidak asing di pelbagai negara di seluruh dunia, antaranya New Zealand, Kanada, Jerman dan Belgium. Berbeza dengan apa yang sedang kita lalui, negara lain yang berdepan keadaan sama mampu menyelesaikan keadaan dihadapi dengan baik.

Di akhirnya, agenda lebih besar melangkaui politik kepartian ialah keutamaan dan kesejahteraan negara. Kita perlu diingatkan bahawa PRU15 diadakan untuk membolehkan rakyat memilih pemimpin yang baik.

Langkah seterusnya ialah bagi mereka yang dipilih menentukan kaedah terbaik untuk membentuk kerajaan stabil demi negara, bukan untuk mana-mana gabungan yang hanya mementingkan diri. Ini masanya bagi pemimpin menunjukkan sikap kenegaraan mengatasi segala-galanya.

Sekali lagi, kita mesti melihat kerangka yang lebih besar. Bagaimana keadaan negara kita sekarang? Bagaimana keadaan Malaysia yang kita mahukan dalam laluan meniti masa depan? Apakah dasar yang perlu dilaksanakan dalam menjamin masa depan yang kita mahukan? Mengambil kira pelbagai pandangan dan perbincangan dalam media, nampaknya negara kita 'tenat' dalam banyak keadaan. Langkah meminjam

Berikutan pinjaman yang tidak dikendali dengan baik sebelum ini, hutang negara kini sukar dikawal. Malah, ada yang mengatakan jika kita tidak mengawalnya dengan baik dalam hari-hari mendatang, negara boleh terjerumus ke kancah seperti mana dialami Sri Lanka.

Kita tahu apa yang berlaku ke atas Sri Lanka. Seperti Sri Lanka yang terlalu bergantung kepada pelancongan sebagai pendapatan, kita juga terlalu bergantung kepada petroleum sebagai penyumbang terbesar pendapatan negara. Gesaan untuk mempelbagaikan ekonomi menjadi lebih bernilai tambah dan sektor berpandukan teknologi belum dipandang serius oleh pemimpin kita. Kita belum berganjak daripada ekonomi intensif buruh kos rendah.

Keadaan mungkin menjadi buruk. Hampir semua pihak meramalkan 2023 sebagai tahun kemelesetan ekonomi global. Menurut mereka, inflasi akan melonjak dalam kalangan pengguna. Kita perlu bersedia berdepan keadaan serba menekan ini. Harga bekalan tenaga dijangka terus diapung, begitu juga harga makanan. Sejak sekian lama, kita membicarakan bagaimana untuk meningkatkan jaminan keselamatan makanan Tiada apa yang berubah kecuali pengumuman dasar demi dasar dan pelbagai janji.

Dasar yang tidak menjadi menjadi realiti. Pelaburan langsung asing (FDI) negara turut menunjukkan aliran pengurangan berbanding negara jiran. Ketidaktentuan politik negara banyak menyumbang kepada kelesuan ini Apa yang pasti ialah kita memerlukan perubahan. Buang jauh segala perkara lama. Satu-satunya cara untuk berubah ialah dengan memiliki kepemimpinan baharu, yang tidak menjadi sebahagian daripada pentadbiran rapuh sebelum ini.

Penulis daripada Pusat Kajian Polisi Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) Tan Sri Omar Abdul Rahman, Universiti UCSI

Berita Harian X