KOTA BHARU: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Zaid Ibrahim mengajak semua pemimpin UMNO mengetepikan ego dan membuat keputusan yang matang bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan Persekutuan.
Mohd Zaid berkata, Pengerusi PH merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat sokongan 82 Ahli Dewan Rakyat dan pasti beliau akan menjadi Perdana Menteri, samada pada hari ini atau esok.
"Beliau (Anwar) memberi penghormatan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menyertai kerajaan, tapi peliknya pemimpin dalam BN, UMNO ada yang tak mahu, ada yang rela dipecat, ada kata presiden kena berhenti. Ini semua tidak relevan.
"Tawaran itu diberi kepada Ahli Parlimen yang menang dan isu ini hanya tertumpu kepada Ahli Parlimen. Yang tak bertanding, yang digugurkan, bukan Ahli Parlimen, diam-diam sajalah.
"Saya percaya Anwar akan mendapat sokongan itu. Kalau UMNO tidak mahu, ada orang lain yang mahu dan usah kelirukan isu," katanya menerusi laman Facebooknya, hari ini sambil meminta pemimpin UMNO berfikir kerana tidak mudah untuk menjadi pembangkang.
Katanya, memang mudah bercakap untuk menjadi pembangkang, tetapi apa yang berlaku di Kelantan menunjukkan sebaliknya.
"Cakap boleh, apabila kita jadi pembangkang, di Kelantan sudah 32 tahun (UMNO pembangkang) apa progres (kemajuan)? Apa yang dapat dilaksanakan sebagai pembangkang," katanya.
Pada PRU15, Zaid berkata, BN tewas di Kedah, Kelantan, Terengganu, apa yang disifatkannnya sebagai hilang semuanya atau 'total loss'.
"Dalam konteks ini, sepatutnya kita berterima kasih kepada Anwar kerana jemput kita. Kita juga kena berterima kasih kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang cuba menyelamatkan UMNO dan beri sedikit oksigen kepada parti untuk terus hidup.
"Sepatutnya kita berterima kasih dan kita menyahut seruan ini, buatlah apa yang boleh untuk mengukuhkan parti. Maka pencapaian 30 kerusi itu, Alhamdulillah kita bernasib baik kerana ada peluang untuk kembali kepada kerajaan" katanya.
Mohd Zaid berkata, ahli UMNO jangan emosional semata-mata tidak dapat jawatan tertentu dan sebagainya.
"Soal isu luaran, isu siapa sepatutnya jadi presiden, dasar apa, adalah soal lain dan jangan campur adukkan. Tanggungjawab kita ialah untuk membantu menubuhkan kerajaan dan itu mustahak.
"Kalau kerajaan itu Anwar Ibrahim, maka kita terimalah kerana dia lebih daripada kita. Kita kena terima hakikat bahawa setiap hari tidak ada kerajaan yang berfungsi, maka ekonomi kita rugi berbilion ringgit," katanya.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), PH menang 82 kerusi Parlimen, Perikatan Nasional (73), BN (30), Gabungan Parti Sarawak (22), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (6), Parti Warisan (Warisan) (3), Parti Bangsa Malaysia (PBM) (1) dan Bebas (2).
Terdahulu, BH memetik sumber, melaporkan Ahli Parlimen BN dipercayai sepakat menyerahkan kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dalam soal memutuskan calon Perdana Menteri ke-10.
Blok parti itu difahamkan mengambil pendirian berkecuali dalam memilih mana-mana calon Perdana Menteri, sama ada daripada PH mahupun PN.
Setakat ini, dua nama calon Perdana Menteri dijangka dipersembahkan ke Istana Negara, iaitu Anwar dan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yasin.
Mengulas lanjut, sumber itu memaklumkan, Ahli Parlimen BN juga bersetuju hanya akan menyertai mana-mana gabungan kerajaan jika dijemput gabungan yang menang dan jika sebaliknya, mereka sepakat untuk kekal sebagai pembangkang.
Malam tadi, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, menegaskan kesediaan gabungan itu untuk menjadi blok pembangkang, selain mencadangkan PN dan PH membentuk kerajaan bersama.
Hari ini, Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula menyatakan hasrat sama supaya BN berperanan sebagai pembangkang, menunjukkan BN sepakat mengambil keputusan 'en bloc' dalam menentukan soal pencalonan Perdana Menteri.