Selasa, 22 November 2022 | 1:22pm

PRU15: Istana Negara terus 'meriah'

KUALA LUMPUR: Penantian petugas media di hadapan Istana Negara hari ini dimeriahkan dengan pelbagai juadah makanan dan minuman hasil sumbangan daripada pelbagai syarikat.

Pemberian itu bertujuan menghargai jasa media yang sentiasa mendapatkan laporan terkini berhubung keputusan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) apabila ia masih belum mencapai kata putus sehingga kini.

Antara syarikat terbabit adalah restoran makanan segera Kentucky Fried Chicken (KFC), Tealive, Food Panda dan Santan AirAsia, US Pizza, Restoran Ali Maju (tajaan Istana Negara) dan Power Root.

Selain itu, turut disediakan kemudahan awam seperti surau, tandas bergerak dan khemah media.

Petugas media menerima pelbagai sumbangan makanan dari syarikat pembekal makanan ketika berkampung di luar perkarangan pintu 2 Istana Negara. - NSTP/Aizuddin Saad
Petugas media menerima pelbagai sumbangan makanan dari syarikat pembekal makanan ketika berkampung di luar perkarangan pintu 2 Istana Negara. - NSTP/Aizuddin Saad

Memasuki hari ketiga petugas media berkumpul di pekarangan pintu satu dan dua Istana Negara, masih tiada kelibat kenderaan membawa ketua parti politik untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Istana Negara terus menjadi tumpuan apabila gabungan parti politik yang dipersetujui perlu mengemukakan nama seorang Ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti untuk menjadi calon Perdana Menteri Ke-10 kepada Yang di-Pertuan Agong, sebelum jam 2 petang ini.

Petugas media menerima pelbagai sumbangan makanan ketika berkampung di luar pintu dua Istana Negara menanti ketibaan pemimpin tertinggi parti untuk mengemukakan calon Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong, hari ini. - NSTP/Aizuddin Saad

Berita Harian X