Selasa, 22 November 2022 | 12:37pm

Kerajaan campuran Perak: 3 ADUN BN, 7 ADUN PH angkat sumpah EXCO

KUALA KANGSAR: Sepuluh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak membabitkan tiga daripada Barisan Nasional (BN) dan tujuh mewakili Pakatan Harapan (PH), selesai mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Perak di Balai Istiadat Kecil, Istana Iskandariah, di sini, hari ini.

Kesemua mereka melafazkan sumpah di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, dan menerima watikah pelantikan daripada baginda.

Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah; dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah, turut sama berangkat ke istiadat itu.

Tiga ADUN mewakili BN yang mengangkat sumpah ialah ADUN Lintang, Datuk Mohd Zolkafly Harun, Salbiah Mohamed (Temengor) dan Khairudin Abu Hanipah (Belanja), kesemuanya daripada UMNO.

Baki tujuh ADUN daripada PH ialah ADUN Sungai Rapat, Datuk Seri Dr Mohammad Nizar Jamaluddin (AMANAH); A Sivanesan (Sungkai - DAP); Loh Sze Yee (Jalong - DAP); Teh Kok Lim (Aulong - DAP); Sandrea Ng Shy Ching (Teja - PKR); Mohd Azlan Helmi Helmi (Tualang Sekah - PKR); dan Woo Kah Leong (Pasir Bedamar - DAP).

Ia sekali gus menjadikan komposisi parti diwakili EXCO kerajaan campuran Perak yang baharu dibentuk bawah pentadbiran Menteri Besar daripada BN, Datuk Seri Saarani Mohamad, ialah empat daripada DAP, BN (tiga), PKR (dua) dan AMANAH (satu).

Barisan EXCO berkenaan terbentuk daripada kerjasama BN dan PH yang bersetuju untuk bergabung membentuk kerajaan negeri.

Pembentukan kerjasama menerusi gabungan dua parti itu memperoleh sokongan 33 ADUN daripada keseluruhan 59 kerusi, sekali gus melepasi majoriti mudah 30 kerusi untuk menubuhkan kerajaan negeri.

Kerjasama itu turut bersetuju melantik Saarani yang juga ADUN Kota Tampan daripada BN sebagai Menteri Besar Perak.

Saarani telah mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak ke-15 di hadapan Sultan Nazrin di Istana Iskandariah, di sini, semalam.

Keputusan PRU15 yang diumum pada Sabtu lalu menyaksikan PH berjaya memenangi 24 kerusi dan BN sembilan kerusi di Perak, manakala Perikatan Nasional (PN) mendapat 26 kerusi.

Sementara itu, Mohd Zolkafly sebelum ini juga adalah EXCO dalam pentadbiran Saarani yang mula memegang jawatan Menteri Besar sejak Disember 2020 susulan peletakan jawatan oleh Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada 5 Disember tahun sama selepas kehilangan majoriti sokongan ADUN.

Perak sebelum pembubaran DUN pada 17 Oktober lalu, mempunyai 10 EXCO bawah pimpinan Saarani yang komposisinya membabitkan lima ADUN daripada BN, PAS (dua) dan BERSATU (tiga).

Berita Harian X