KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan mengakui beliau ada pilihan sendiri siapa akan disokong menjadi Perdana Menteri Ke-10 dan mengetuai kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Tapah itu, berkata keputusan akhir, sama da menyokong Pakatan Harapan (PH) diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Perikatan Nasional (PN) diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin, bergantung kepada persetujuan Barisan Nasional (BN).
"Pilihan hati sudah ada, tapi kena tengok pilihan parti. Walaupun ada pilihan hati, masih kena ikut pilihan parti," katanya kepada pemberita ketika tiba di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.
Siapa calon PM Ke-10 dijangka diputuskan hari ini, terarah kepada Anwar dan Muhyiddin, ketua dua blok parti politik yang mendapat jumlah kerusi Dewan Rakyat tertinggi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Sabtu lalu.
Pada PRU15, PH memperoleh 82 kerusi Parlimen, manakala PN pula mendapat 73 kerusi, sekali gus memerlukan sokongan Ahli Parlimen mewakili gabungan parti lain, termasuk BN yang menang 30 kerusi.
Untuk menubuhkan kerajaan, sesebuah parti atau gabungan parti perlu mendapat majoriti mudah sokongan 112 Ahli Parlimen daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.
Semalam, media melaporkan, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk melanjutkan tempoh masa selama 24 jam lagi kepada parti politik untuk membentuk kerajaan yang sepatutnya sehingga jam 2 petang semalam.
Selaras lanjutan itu, parti politik memiliki lebih masa untuk merundingi pembentukan kerajaan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), sekali gus menamakan seorang Ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti untuk menjadi calon Perdana Menteri ke-10.
Pertemuan Ahli Parlimen BN dan PH semalam menemui jalan buntu selepas tiada sebarang SD ditandatangani bagi menyokong pencalonan Anwar sebagai calon Perdana Menteri.
Perbincangan dan pertemuan Ahli-ahli Parlimen BN dilaporkan masih berlangsung di WTC.
Ketika usaha digiatkan pemimpin tertentu dalam BN supaya gabungan PH dan BN direalisasikan, wujud protes dari kalangan Ahli Parlimen gabungan itu sendiri yang menentang usaha itu.
Selain Naib Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pemimpin lain yang dikatakan turut menentang usaha menggabungkan BN dan PN adalah Bendahari BN yang juga Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.