Isnin, 21 November 2022 | 9:55pm
Mohamad dalam sidang media bersama-sama Ahmad Zahid, hari ini. - Foto AFP
Mohamad dalam sidang media bersama-sama Ahmad Zahid, hari ini. - Foto AFP

Rakyat tolak BN, tak layak jadi kerajaan

KUALA LUMPUR: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan parti itu tiada kuasa untuk menubuhkan kerajaan kerana ditolak rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, sewajarnya Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) bergabung menubuhkan kerajaan Persekutuan.

"Mereka mendapat bilangan nombor undi yang lebih tinggi.

"BN bersedia menjadi pembangkang yang bertanggungjawab 'check and balance' kerajaan baru," katanya di media sosial malam ini.

Mohamad yang memenangi kerusi Parlimen Rembau dalam PRU15 berkata, BN sedia membantu meredakan keadaan ketika peralihan pasca pilihan raya umum.

"Kalau masih tak dapat juga tubuh kerajaan, tolong jangan salahkan kami.

"Ini hasil daripada proses yang demokratik, untuk memulangkan mandat kepada rakyat. Kami hanya menghormati keputusan itu," katanya.

Dalam PRU15, PH memenangi 82 kerusi, PN 73, BN 30, Gabungan Parti Sarawak (GPS) 23 dan Parti Warisan (tiga).

Dewan Tertinggi BN hari ini bermesyuarat untuk memutuskan pendirian menyokong gabungan parti bagi membentuk kerajaan Persekutuan.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan 26 Ahli Parlimen BN akan menyokong keputusan Dewan Tertinggi BN untuk bergabung dengan mana-mana parti.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata beliau mendapat kepercayaan majoriti Ahli Parlimen untuk dicalonkan sebagai perdana menteri.

Anwar dijangka menerima akuan bersumpah daripada Ahli Parlimen BN dan PH esok. - Foto hiasan AFP
Anwar dijangka menerima akuan bersumpah daripada Ahli Parlimen BN dan PH esok. - Foto hiasan AFP

Berita Harian X