CIANJUR: Pertambahan pesakit yang cedera akibat gempa bumi di sini, wilayah Jawa Barat menyebabkan kebanyakan jalan menuju ke rumah sakit di bandar itu mengalami kesesakan luar biasa.
Memetik laporan Detik.com, Rumah Sakit Umum Daerah (RSUD) Sayang, di sini semakin padat susulan lebih ramai mangsa yang dikejarkan ke rumah sakit itu.
Tinjauan portal berita itu mendapati kebanyakan mangsa mengalami luka di bahagian kepala dan tangan.
Malah, ramai mangsa yang dibawa ke rumah sakit itu dalam kalangan kanak-kanak.
Pegawai Daerah Cianjur, Herman Suherman, berkata impak daripada gempak bumi kali ini cukup besar, ia bukan sahaja menyebabkan kerosakan harta benda dan bangunan, malah angka mangsa yang cedera dan terkorban dijangka turut meningkat.
"Setakat ini, maklumat semasa jumlah korban dan penduduk yang tercedera masih belum dapat disahka," katanya.
Herman turut berkata, Badan Tindakan Bencana Daerah (BPBD) masih mengumpul data berhubung kesan gempa itu yang gegarannya turut dirasai di pelbagai daerah di Jawa Barat dan Jakarta.
Sekurang-kurangnya 46 maut manakala ratusan lagi cedera dalam gempa bumi berukuran 5.6 magnitud itu.
Menurut agensi cuaca dan geofizik (BMKG), pusat gempa berada di darat di sekitar Cianjur di Jawa Barat, pada kedalaman 10 km (6.21 batu). - AGENSI