Isnin, 21 November 2022 | 5:18pm
Baharudin (kiri) bersalaman dengan Komander Destroyer Squadron Fifteen (CDS 15), Kapten Walter C Mainor pada Majlis Pembukaan Eksesais CARAT 2022 di Markas Angkatan Bersama, Kem Al-Sultan Abdullah hari ini. - BERNAMA
Baharudin (kiri) bersalaman dengan Komander Destroyer Squadron Fifteen (CDS 15), Kapten Walter C Mainor pada Majlis Pembukaan Eksesais CARAT 2022 di Markas Angkatan Bersama, Kem Al-Sultan Abdullah hari ini. - BERNAMA

CARAT 2022 tingkat keupayaan tempur ATM

KUANTAN: Selepas lebih empat tahun terhenti akibat pandemik COVID-19, Eksesais Kerjasama Kesiagaan dan Latihan 2022 (CARAT 22) kembali dengan tema dipilih 'Keselamatan Maritim'.

Latihan kerjasama dwitahunan membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Laut Amerika Syarikat (USN) itu berlangsung hari ini hingga 30 November ini, menjadikan lokasi sekitar daerah ini dan perairan Laut China Selatan sebagai medan latihan.

Timbalan Asisten Ketua Staf J3 Markas Angkatan Bersama, Laksamana Pertama Baharudin Wan Md Nor, berkata untuk eksesais kali ini seramai 303 anggota ATM terbabit, selain 300 lagi dari USN.

Selain bertujuan mengukuhkan hubungan antara tentera kedua-dua negara, katanya eksesais bertujuan meningkatkan keupayaan tempur dan perkongsian keselamatan maritim selaras undang-undang, norma serta piawaian antarabangsa.

"Seperti dipersetujui, tema 'Keselamatan Maritim' dipilih sebagai satu konsep yang luas bagi eksesais tahun ini.

"Walaupun kami menyedari hakikat bahawa tiada definisi sebenar di peringkat antarabangsa mengenai istilah itu, secara umumnya ia digunakan bagi menggambarkan cabaran sedia ada mahupun baharu di serantau dan antarabangsa terhadap keselamatan serta kedaulatan dalam kawasan maritim," katanya melalui ucapan perasmian di Pusat Peperangan Bersama Kem Al-Sultan Abdullah, di sini hari ini.

Dalam hal ini, beliau berkata isunya berkisar tentang kegiatan lanun dan rompakan bersenjata di laut, penyeludupan dan pengedaran dadah, keselamatan pelabuhan serta perang atau risiko perang.

Baharudin bersama Komander Destroyer Squadron Fifteen (CDS 15), Kapten Walter C Mainor bergambar kenangan bersama peserta pada Majlis Pembukaan Eksesais CARAT 2022 di Markas Angkatan Bersama, Kem Al-Sultan Abdullah hari ini. - BERNAMA
Baharudin bersama Komander Destroyer Squadron Fifteen (CDS 15), Kapten Walter C Mainor bergambar kenangan bersama peserta pada Majlis Pembukaan Eksesais CARAT 2022 di Markas Angkatan Bersama, Kem Al-Sultan Abdullah hari ini. - BERNAMA

"Bagi memastikan kita bersedia menghadapi perkara tidak diingini itu, kita memerlukan latihan dan Siri Latihan CARAT antara platform penting yang membantu dalam meningkatkan kapasiti untuk kita berbuat demikian," katanya.

CARAT 22 membabitkan fasa pelabuhan yang menumpukan kepada program seminar dan perbincangan berkisar kepada atau pakar bidang khusus (SME) secara teori dan praktikal, seperti menerusi seminar perubatan, seminar sistem kapal udara tanpa pemandu (UAS) , seminar peperangan anti-kapal selam dan seminar perlindungan personel.

Bagi fasa laut pula, ia meliputi aktiviti latihan di medan membabitkan aktiviti peperangan tiga dimensi bagi menghadapi ancaman tradisional dan bukan tradisional yang akan berlangsung di perairan Laut China Selatan. – BERNAMA

Berita Harian X