Isnin, 21 November 2022 | 2:15pm
Tumpuan terarah kepada Istana Negara untuk pembentukan kerajaan dan pelantikan Perdana Menteri. - Foto NSTP/Aswadi Alias
Tumpuan terarah kepada Istana Negara untuk pembentukan kerajaan dan pelantikan Perdana Menteri. - Foto NSTP/Aswadi Alias

PRU15: 'BN sukar jayakan manifesto, agenda jika jadi pembangkang'

PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) akan sukar meneruskan janji manifesto dan agenda mereka sekiranya memilih untuk menjadi pembangkang.

Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Azmi Hassan, berkata jika BN bersama mana-mana gabungan sama ada Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH), mereka lebih mudah melaksana agenda.

"Itu hakikatnya yang perlu difikirkan BN, sama ada untuk berada di luar atau dalam kerajaan, kerana keputusan berada di tangan BN.

"Apa pilihan dan keutamaan mereka pada ketika ini? Kita kena akur bahawa pemimpin BN memikirkan parti dan kesinambungan parti mereka dalam membuat keputusan… diharapkan itu menjadi pemikiran bila mereka membuat keputusan," katanya kepada BH.

Beliau turut memberi contoh situasi selepas pilihan raya New Zealand baru-baru ini, yang mana parti Jacinda Ardern biarpun cukup dan tidak perlu rakan politik lain, tetap memanggil Green Party untuk bersama-sama dalam kerajaan.

"Hanya kerana agenda Green Party yang lebih menjurus kepada alam sekitar dan parti itu bersetuju kerana lebih mudah untuk meneruskan agenda parti bila ada dalam kerajaan," katanya.

Ditanya sekiranya BN menjadi pembangkang, adakah kerajaan yang dibentuk kelak akan kelihatan rapuh, Azmi berkata, perkara itu tepat sekali.

"Satu parti yang menyokong kerajaan itu daripada luar adalah dikatakan kerajaan itu tidak stabil kerana kerajaan itu besar kemungkinan kerajaan minoriti," katanya.

Pengerusi Wanita BN, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong dalam kenyataan hari ini berkata, berbekal hanya 30 kerusi Parlimen yang dimenangi, BN wajar untuk terus berada di dalam blok pembangkang.

Beliau berkata, namun BN boleh menjadi rakan mesra dalam mana-mana gabungan politik sekiranya diperlukan untuk menubuhkan kerajaan.

Semalam juga Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan turut menyuarakan nada sama bahawa BN harus menjadi pembangkang dan tidak menyertai mana-mana blok kerajaan baik yang diterajui PH atau PN.

Beliau berkata, untuk BN bersama mana-mana pihak agak janggal kerana parti terbabit akan menjadi peneraju manakala BN hanya sekadar pelengkap.

Sementara itu Pensyarah Sosiologi Politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian, berkata kerajaan campuran antara PH dan BN boleh direalisasikan namun perlu menyelesaikan banyak dilema dalaman parti.

"Dalam BN sendiri ada dua kumpulan, satu yang menyokong dan satu lagi tidak, jadi kita akan melihat sejauh mana Akta Lompat Parti itu akan diguna pakai, kerana penolakan secara individu tidak boleh berlaku.

"Kalau Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal mendapat sokongan untuk bentuk kerajaan campuran dan pada masa sama PN juga tidak dapat bentuk kerajaan kerana perlukan sokongan BN, jadi masing-masing berdepan situasi sukar kerana BN jadi penentu," katanya.

Beliau berkata, dalam situasi tiada gabungan politik yang berjaya memperoleh majoriti mudah, pemimpin parti dicadangkan berjiwa besar dengan membentuk sebuah kerajaan perpaduan.

"Oleh kerana tiada yang mendapat angka kerusi 112, seeloknya wujudkan kerajaan perpaduan untuk stabilkan situasi politik dan ekonomi negara.

"Kerajaan perpaduan diperlukan sekurang-kurangnya sebagai penyelesaian sementara sebelum negara kembali stabil.

"Model kerajaan perpaduan pernah dijayakan di negara ini selepas tragedi 13 Mei 1969 hingga terwujudnya gabungan BN ketika itu," katanya.

Berita Harian X