KUALA LUMPUR: Beberapa jam selepas Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengesahkan memiliki jumlah majoriti diperlukan bagi membentuk kerajaan, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mengadakan pertemuan di Hotel Seri Pacific di sini.
Kehadiran Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan tertinggi PH ke 'rumah' UMNO secara tidak langsung itu menjadi simbolik penjajaran baharu apabila hotel berkenaan hanya beberapa meter saja jaraknya daripada Ibu Pejabat UMNO di Menara Dato Onn.
Inisiatif itu juga dilihat sebagai usaha menyelamatkan negara selepas tiada mana-mana parti politik memiliki jumlah mencukupi untuk membentuk kerajaan.
Ia sekali gus menjadi resolusi yang perlu dicari walaupun ramai mendakwa ia ibarat 'menelan ludah' dan apa yang tidak betul serta tidak baik yang diluah sepanjang tempoh kempen pilihan raya sebelum ini, perlu diselesaikan menerusi muafakat.
Biarpun berdolak-dalik mengenai pertemuan itu, kehadiran ramai pemimpin tertinggi kedua-dua gabungan terbabit termasuk Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Anwar itu mencetuskan spekulasi mengenai rundingan untuk menubuhkan kerajaan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Malah, Ahmad Zahid pada sidang media selepas pertemuan itu memaklumkan seramai 26 daripada 30 Ahli Parlimen parti berkenaan akan menyokong keputusan Dewan Tertinggi BN untuk bergabung dengan mana-mana parti.
Empat Ahli Parlimen BN termasuk dua yang mengalami masalah kesihatan tidak hadir pada pertemuan berkenaan iaitu Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Sembrong), Datuk Jalaluddin Alias (Jelebu), Datuk Adnan Abu Hassan (Kuala Pilah) dan Datuk Shamsulkahar Mohd Deli (Jempol).
Ketidakhadiran Ahli Parlimen itu turut dikatakan kerana tidak bersetuju dengan tindakan bekerjasama dengan PH apabila Hishammuddin sendiri sebelum ini menegaskan pendiriannya untuk menolak sebarang kerjasama dengan gabungan pimpinan Anwar itu.
Jalaluddin juga dalam kenyataannya menegaskan penolakan terhadap kerjasama itu disebabkan kegagalan pentadbiran negara sepanjang 22 bulan selepas PRU14).
Bagaimanapun, sebarang keputusan BN untuk menyokong mana-mana gabungan bagi membolehkan kerajaan dibentuk akan diputuskan pada mesyuarat Dewan Tertinggi gabungan itu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada jam 2 petang ini.
Mungkinkah Langkah Sheraton yang terkenal pada 2020 bakal berulang dengan Seri Pacific Move?
Biarpun begitu, perkembangan terbaru menyaksikan Perak bakal menubuhkan kerajaan negeri menerusi kerjasama BN dan PH selepas Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini memaklumkan dua parti terbabit memperoleh sokongan 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), sekali gus melepasi majoriti mudah.
ADUN Kota Tampan dari BN, Datuk Seri Saarani Mohamad dijadual mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak petang ini selepas dinamakan sebagai calon tunggal untuk mengisi jawatan itu.
Langkah Sheraton pada 24 Februari 2020 menyaksikan 11 Ahli Parlimen diketuai bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, keluar parti.
Tindakan itu menyusul apabila BERSATU mengumumkan keluar daripada PH pada hari sama, menyebabkan gabungan yang menjadi kerajaan ketika itu hilang majoriti.
Susulan itu, BERSATU bersama PAS dan BN dengan sokongan gabungan politik di Sarawak menubuhkan kerajaan dengan Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri.