ALOR SETAR: Kedah mengekalkan pendirian tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) lebih awal walaupun Perikatan Nasional (PN) kini berada dalam momentum terbaik selepas berjaya memenangi 13 kerusi Parlimen negeri itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kelmarin.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata keputusan membubarkan DUN itu hanya akan dilakukan selepas bulan Mac tahun depan.
"Kita tidak mahu buat PRU sekarang kerana banjir dijangka berlaku antara bulan November hingga Mac, jadi selepas bulan Mac nanti, bila-bila sahaja pembubaran DUN itu boleh dilakukan.
"Tetapi, kita kena ambil kira semua aspek kerana peralihan monsun, banjir ini berakhir Mac dan selepas itu kita akan berpuasa, sambut raya Aidilfitri dan Aidiladha pula. Kalau tidak dilakukan dalam tempoh itu, ia akan 'luruh' sendiri pada Julai tahun depan.
"Selain itu, saya kena berbincang dengan Kelantan dan Terengganu dahulu, buat sekali barulah 'syok' sikit," katanya ketika ditemui selepas Majlis Kesyukuran PN di Kompleks PAS Kota Sarang Semut, di sini, malam tadi.
Dalam keputusan PRU15 kelmarin, PN menyapu bersih 13 daripada 15 kerusi Parlimen di Kedah manakala Pakatan Harapan(PH) hanya menang satu kerusi.
Pengundian di Parlimen Padang Serai ditangguhkan pada 7 Disember depan berikutan kematian calon PH , M Karupaiya, 69, pada Rabu lalu.
Pada 13 Oktober lalu, media melaporkan PAS tetap dengan keputusan untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah pentadbiran parti berkenaan iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang diadakan kira-kira empat jam di Ibu Pejabat PAS pada tarikh berkenaan.