Isnin, 21 November 2022 | 10:25am
Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.
Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

PRU15: Bentuk kerajaan perpaduan demi keharmonian rakyat dan kestabilan

KUALA LUMPUR: Dalam situasi tiada gabungan politik yang berjaya memperoleh majoriti mudah selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), pemimpin parti dicadangkan berjiwa besar dengan membentuk sebuah kerajaan perpaduan.

Kabinet dicadangkan diketuai Perdana Menteri yang berwibawa dan berkebolehan memacu negara serta melantik Ahli Parlimen yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing mentadbir dan menguruskan negara untuk lima tahun akan datang.

Penganalisis berpendapat, pembentukan kerajaan perpaduan itu dilihat sangat penting bagi negara untuk melepasi ujian dan cabaran getir ekonomi yang diramal meleset tahun depan, selain mewujudkan kestabilan politik dan keharmonian dalam kalangan rakyat.

Mereka berpendapat, gabungan semua parti politik utama di negara ini iaitu Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berupaya menghasilkan 'ramuan' lengkap dalam pembentukan kerajaan perpaduan yang ideal kepada rakyat.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali, berkata penubuhan kerajaan perpaduan dilihat praktikal untuk dilaksanakan dan atas dasar itu, perlu adanya kompromi dalam kalangan gabungan parti bagi merealisasikan tujuan berkenaan.

"Ada yang melahirkan kebimbangan penubuhan kerajaan perpaduan menyebabkan tiadanya semak dan imbang di Parlimen, namun sebenarnya proses teguran dan kritikan itu masih boleh berlaku.

"Saya melihat setiap gabungan mempunyai kelebihan...BN lebih memahami denyut nadi rakyat, manakala PN pula dilihat boleh mengawal dalam aspek integriti dan Islam.

"Sementara PH pula mempunyai barisan pemimpin yang pakar dalam aspek undang-undang dan ekonomi di mana jika semua kepakaran ini digabungkan, ia mampu menghasilkan kerajaan perpaduan yang ideal," katanya kepada BH, di sini.

Idea berhubung pembentukan kerajaan perpaduan pernah dilontarkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika beliau dilantik sebagai Perdana Menteri interim selepas kejatuhan kerajaan PH.

Dr Mahathir ketika itu bercadang mahu membentuk kerajaan perpaduan dengan cara beliau memilih pemimpin yang beliau yakini untuk dilantik sebagai menteri bukan berdasarkan kedudukan dalam parti masing-masing.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga pernah menawarkan kerjasama rentas parti antara kerajaan PN dengan parti di luar kerajaan bagi membolehkan kerajaan terus berfungsi ketika pandemik COVID-19 dengan sokongan bipartisan di Parlimen, namun ia ditolak sehingga menyebabkan beliau terpaksa meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, Ogos tahun lalu.

Pada masa sama, Mazlan berkata, dalam merealisasikan hasrat itu, Yang di-Pertuan Agong boleh memainkan peranan dalam menjadi 'pendamai' dengan mendorong kepada pembentukan kerajaan perpaduan, sekali gus menyelesaikan isu berkaitan pelantikan Perdana Menteri.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Selangor (UNISEL), Prof Madya Dr Hamdan Mohd Salleh, berkata kewujudan kerajaan perpaduan diperlukan sekurang-kurangnya sebagai penyelesaian sementara sebelum negara kembali stabil khususnya dalam aspek ekonomi dan politik.

Beliau berkata, pembentukan kerajaan perpaduan boleh dilihat sebagai penyelesaian kemelut pasca PRU15 dengan syarat manifesto yang dijanjikan semua gabungan parti perlu dilaksanakan.

Katanya, model kerajaan perpaduan pernah dijayakan di negara ini selepas tragedi 13 Mei 1969 hingga terwujudnya gabungan BN ketika itu.

"Apatah lagi tahun depan dijangka berlakunya kemelesetan ekonomi yang memerlukan kerajaan benar-benar mantap bagi berdepan semua cabaran itu.

"Namun antara isu penubuhan kerajaan perpaduan ialah tiada pembangkang yang boleh mencabar dan mempertikaikan sebarang keputusan kerajaan.

"Tetapi ia dilihat lebih mudah dengan syarat semua manifesto yang dicanang oleh semua pakatan yang bertanding dicari titik persamaan dan terus dilaksana untuk manfaat rakyat yang terkesan akibat pelbagai cabaran dalam tempoh lima tahun sebelum ini," katanya.

Berita Harian X