IPOH: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pagi ini, dijangka mengadakan pertemuan dengan sembilan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) BN yang menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Kelihatan kenderaan yang membawa Saarani ynag juga Menteri Besar Perak tiba di ibu pejabat UMNO negeri di sini, dipercayai tiba seawal jam 8.30 pagi.
BH difahamkan pertemuan itu bagi membincangkan hala tuju parti termasuk perihal sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) ataupun Pakatan Harapan (PH).
Selepas mesyuarat, beliau dijadual menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada jam 12 tengah hari ini, di Istana Kinta.
PRU15 menyaksikan BN hanya memenangi sembilan daripada 59 kerusi DUN Perak, menjadikan ia keputusan terburuk pernah direkodkan parti itu.
Keputusan di DUN sama turut menyaksikan Perikatan Nasional (PN) berjaya menawan 26 kerusi, manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi 24 kerusi.
Perak mempunyai 59 kerusi DUN dan untuk membentuk kerajaan negeri, gabungan perlu memerlukan sekurang-kurangnya 30 kerusi.