Isnin, 21 November 2022 | 9:36am
Gabungan parti politik diminta mengemukakan nama seorang Ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti untuk menjadi calon Perdana Menteri Ke-10 kepada Istana Negara sebelum jam 2 petang hari ini. - Foto NSTP
Gabungan parti politik diminta mengemukakan nama seorang Ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti untuk menjadi calon Perdana Menteri Ke-10 kepada Istana Negara sebelum jam 2 petang hari ini. - Foto NSTP

PRU15: Wujudkan kerajaan sementara sehingga PH, PN capai sokongan

KUALA LUMPUR: Kerajaan sementara perlu diwujudkan dalam tempoh menunggu dua gabungan yang mendapat jumlah kerusi tertinggi, Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), mengumpul sokongan mendapatkan majoriti mudah 112.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah, berkata usaha mendapatkan majoriti mudah itu dijangka mengambil masa, sekali gus negara memerlukan kerajaan sementara bagi memastikan perjalanan urus tadbir negara tidak terganggu.

Pada masa sama, beliau berpandangan Barisan Nasional (BN) yang kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak perlu terbabit dalam pembentukan kerajaan baharu oleh PH dan PN, sebaliknya perlu menjadi pembangkang.

"PH dan PN kena dapatkan 112 dan buktikan pada Yang di-Pertuan Agong hari ini. Jika dua-dua pihak masih belum capai, kena wujudkan 'caretaker government' (kerajaan sementara).

"Kita sebagai BN tak perlu nak sokong PH atau PN. Kita kekal pembangkang dan jadi semak dan imbang untuk rakyat.

"Sementara mereka berbalah untuk dapatkan majoriti, Yang di-Pertuan Agong boleh lantik kerajaan sementara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, memaklumkan gabungan parti politik diminta mengemukakan nama seorang Ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti untuk menjadi calon Perdana Menteri Ke-10 kepada Istana Negara sebelum jam 2 petang hari ini.

Ia selepas Istana Negara menerima keputusan rasmi PRU15 daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam, yang menunjukkan tiada mana-mana parti politik berjaya mendapatkan majoriti mudah 112 kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan.

Mengulas lanjut, Armand Azha berpandangan BN tidak perlu terbabit dalam pembentukan kerajaan PN atau PH kerana kedua-dua parti itu adalah musuh politik BN.

Katanya, kedua-dua pihak juga pernah menghina BN berulang kali, namun kini terpaksa mendapatkan sokongan BN untuk menubuhkan kerajaan.

"Bila BN cerita mengenai kestabilan dan kemakmuran, ramai sebelum ini pertikaikan. Hari ini sekali lagi BN harus buat ketetapan untuk stabilkan politik negara.

"Baik PH mahupun PN kini perlukan BN untuk kestabilan dan kemakmuran negara. Bagi saya, tenang dan kita tak perlu sertai mana-mana pihak. Kita kekal sebagai pembangkang," katanya.

Berita Harian X