Isnin, 21 November 2022 | 9:02am

PRU15: Zahid, Azlan Man didesak lepaskan jawatan

KANGAR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terus didesak berundur daripada jawatan Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO sebagai mengambil tanggungjawab atas kekalahan teruk BN di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelmarin.

Desakan juga dibuat ke atas Pengerusi BN Perlis yang juga Pengerusi UMNO Perlis, Datuk Seri Azlan Man.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya, berkata penolakan pengundi di seluruh negara menjelaskan sudah tiba masanya Ahmad Zahid dan Azlan berundur.

"Tidak pernah dalam sejarah PRU di Perlis, BN tewas di 15 kerusi DUN, yang mana 14 kerusi itu dirampas Perikatan Nasional (PN) dan satu kerusi oleh Pakatan Harapan (PH).

"Diburukkan lagi dengan kegagalan di kerusi Parlimen (Padang Besar, Kangar dan Arau) yang merekodkan BN dengan majoriti yang teruk dan dahsyat, malah saya sendiri pun kalah.

"Apapun, dalam soal ini kita kena terima hakikat kekalahan itu dan saya tak nak menuding itu dan ini ini tetapi umum mengetahui bahawasanya kekalahan ini adalah dipengaruhi kempen dalam gerak kerja pembangkang pada waktu itu oleh PN dan PH iaitu satu undi kepada BN adalah satu undi kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Jadi realitinya ini jelas dan kita bukan nak menghina atau menolak apa juga kebaikan kerana kita tahu presiden banyak berkorban dan berjiwa besar untuk parti, namun demi kelangsungan dan masa depan parti seperti presiden pernah maklumkan pada Datuk Seri Najib Razak supaya berundur selepas PRU14," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di di sini, lewat malam tadi.

"Di peringkat negeri, Datuk Seri Azlan Man perlu ambil tanggungjawab yang sama, jangan berdiam diri sahaja, kita menghormati beliau sebagai Pengerusi BN negeri, Ketua Umno Bahagian Kangar, bekas Menteri Besar yang banyak berjasa kepada parti dan negeri.

"Namun dalam soal ini, kelemahan dan kekalahan yang berlaku sungguh teruk sekali dan memang betul, ia adalah gelombang tetapi dalam masa yang sama perlu diingatkan juga sokongan dan dukungan yang diambil adalah punca dan akibat datangnya gelombang itu jadi kita juga minta supaya beliau bertanggungjawab atas hal itu," katanya.

Mengulas desas-desus BN akan menyokong PH untuk membentuk kerajaan Persekutuan, Fathul Bari berpendapat BN perlu bersendirian untuk memperbaharui, muhasabah dengan apa yang berlaku.

Fathul Bari (tengah) pada sidang media mendesak Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Azlan Man meletak jawatan. - Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir
Fathul Bari (tengah) pada sidang media mendesak Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Azlan Man meletak jawatan. - Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir
Berita Harian X