Ahad, 20 November 2022 | 7:45pm
Foto hiasan. - Foto fail NSTP
Foto hiasan. - Foto fail NSTP

PRU15: Pakatan BN-PN di Pahang bentuk kerajaan negeri?

[email protected])

KUANTAN: Pahang negeri yang pernah menjadi kubu kuat Barisan Nasional(BN), kini berada dalam keadaan goyah selepas gagal mendapat majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri berikutan 'siri kekalahan yang tidak dijangka' pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Perikatan Nasional (PN) memperoleh kemenangan mengejut selepas memperoleh 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) diikuti BN dengan 16 kerusi dan Pakatan Harapan (PH) dengan lapan kerusi tetapi tiada parti atau gabungan memperoleh majoriti mudah 21 kerusi.

Penganalisis politik, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, sesi perbincangan dan rundingan sudah dimulakan dan berkemungkinan penggabungan PN dan BN untuk membentuk kerajaan negeri baharu di Pahang.

Beliau berkata, senario di peringkat negeri berbeza berbanding Persekutuan kerana ia perlu dilihat daripada konteks yang lebih kecil.

"Di peringkat Persekutuan, kita perhatikan nampaknya banyak perselisihan faham antara PN dan BN tetapi sentimen di negeri-negeri akan berbeza. Ia perlu dilihat dari konteks tempatan berbanding kepentingan negara.

"Kedua-dua PN dan BN mungkin tidak memihak untuk menjalinkan kerjasama dengan PH...jadi pertaruhan terbaik untuk membentuk kerajaan baharu Pahang ialah PN dan BN bergabung bagi mentadbir kerajaan," katanya.

Sementara itu, Nik Ahmad Kamal berkata, PN mungkin akan berminat jawatan Menteri Besar selepas mendapat lebih besar kerusi di berbanding BN.

"Memandangkan PN dan BN hanya dipisahkan dengan satu kerusi, mungkin ada kemungkinan jawatan Timbalan Menteri Besar diwujudkan. Ini adalah untuk berlaku adil kepada gabungan yang bakal memerintah kerajaan Pahang," katanya.

Mengenai peningkatan kerusi DUN PN daripada lapan kerusi pada PRU14 kepada 17 kerusi di Pahang, Nik Ahmad Kamal berkata gelombang perubahan besar-besaran mungkin berpunca daripada tsunami Melayu bersama-sama pengundi muda yang memilih untuk tidak menyokong PH.

"Nampaknya pengundi Melayu menyokong PN malah di kerusi parlimen Kuantan calon yang kurang dikenali, Wan Razali Wan Nor dari PN menewaskan penyandang Fuziah Salleh dan ahli politik kanan BN (Datuk Seri Ab Hamid Mohd Nazahar)," katanya.

Selepas keputusan PRU15 diumumkan semalam, tidak ada pihak yang berjaya memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan Pahang, yang mengakibatkan DUN tergantung.

Difahamkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ke Kuala Lumpur untuk beberapa siri mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO, manakala Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah akan menghadiri mesyuarat majlis tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Kuala Lumpur malam ini.

Sementara itu, beberapa pemimpin dalam parti BN menutup mulut mengenai kemungkinan pakatan dengan PN tetapi bersetuju kemungkinan kerjasama akan berlaku antara PN berbanding PH.

Dipercayai kedua-dua gabungan itu sudah pun memulakan perbincangan dan terdapat syarat-syarat tertentu yang dikemukakan PN dalam usaha membentuk kerajaan negeri baharu.

Sementara itu, sumber berkata Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, yang memenangi kerusi DUN Cheka, bukanlah satu-satunya calon untuk jawatan Menteri Besar itu.

"Tuan Ibrahim memenangi kerusi parlimen Kubang Kerian dan mungkin akan dipilih sebagai menteri di peringkat Persekutuan. Ada nama lain yang berpotensi jadi kita tunggu pengumuman rasmi," kata sumber itu.

Pada PRU14, BN bertanding di semua 42 kerusi DUN di Pahang, memenangi 25 (UMNO 24, MCA satu).

PH memenangi sembilan kerusi manakala PAS mendapat lapan kerusi.

Dengan kemenangan kali ini, PN berjaya menembusi kubun kuat BN, yang menjadi satu-satunya dua negeri yang kekal di bawah kerajaan BN selepas pilihan raya 2018.

Berita Harian X