Ahad, 20 November 2022 | 7:04pm
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin - AFP
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin - AFP

Ahli MKT UMNO cadang Muhyiddin jadi PM

KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mencadangkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yasin dinamakan sebagai calon Perdana Menteri.

Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Jalaludin Alias, berkata bekas Perdana Menteri itu layak dinamakan berikutan PN memiliki jumlah kerusi kedua tertinggi dalam Dewan Rakyat selepas Pakatan Harapan (PH).

"Saya mengambil sikap berjiwa besar dan matang dalam kolektif politik untuk mencadangkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri atas kerangka PN memiliki jumlah kerusi kedua tertinggi dalam Dewan Rakyat selepas PH.

"Perkara ini sewajarnya menjadi 'collective responsibility' (tanggungjawab kolektif) dalam kalangan ahli Dewan Rakyat Barisan Nasional (BN), PN, PEJUANG, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), bebas dan lain-lain," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

PH memperoleh 82 kerusi Parlimen pada PRU15, manakala PN memenangi 73 kerusi.

Bagaimanapun, kedua-dua parti itu tidak mempunyai bilangan kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan dan memerlukan penyertaan gabungan parti lain bagi melengkapkan angka 112 kerusi dan membentuk majoriti mudah.

Jalaluddin turut menolak pembentukan kerajaan bersama Pakatan Harapan (PH).

"Berpaksikan 'track record', saya berprinsip kita harus membentuk sebuah 'unity government' tanpa PH untuk menerajui kerajaan Malaysia pasca PRU15 ini.

"Asas utama penolakan terhadap PH ini adalah atas kegagalan pentadbiran negara dan keruntuhan negara sepanjang 22 bulan diperintah mereka selepas PRU14," katanya.

Beliau menerima keputusan PRU15 dengan penuh kematangan dan keputusan BN yang hanya mampu menang di 30 kawasan Parlimen.

"Dalam situasi ini, tiada satu parti pun yang beroleh majoriti mudah kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu. Namun demikian, kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara ini harus diteruskan dengan dipimpin oleh sebuah kerajaan yang stabil dan berpengalaman," katanya.

Setakat ini, UMNO dan BN belum memutuskan pendirian rasmi mengenai penyertaan dengan mana-mana gabungan bagi membentuk kerajaan, selepas tiada mana-mana parti cukup 112 kerusi Parlimen.

Menerusi perkembangan terbaharu petang ini, Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyatakan persetujuan membentuk gabungan bersama PN, BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi membentuk kerajaan Persekutuan.

Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Openg, dalam satu sidang media menyatakan, GPS turut memilih Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri.

Berita Harian X