Ahad, 20 November 2022 | 6:31pm
Ahli Majlis Kerja Tertinggi MIC, Datuk C Sivarraajh.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi MIC, Datuk C Sivarraajh.

PRU15: Berundurlah Ahmad Zahid demi parti - Sivarraajh

KULIM: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Padang Serai, Datuk C Sivarraajh menggesa Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan sebagai Pengerusi BN susulan kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), semalam.

Sivarraajh yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi MIC berkata, walaupun mereka mempunyai hubungan baik dalam dunia politik namun kekalahan dialami jelas memberikan mesej jelas Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO perlu berundur.

"Beliau perlu meletak jawatan serta bertanggungjawab terhadap kekalahan yang dialami BN yang boleh disifatkan sebagai terburuk pada PRU15 ini.

"Saya harap beliau dapat melakukan sesuatu yang terbaik demi parti dengan berundur dan memberi peluang kepada pemimpin lain untuk mengemudi jentera parti," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Besar Johor Onn Hafiz turut menggesa Ahmad Zahid meletak jawatan dan mengikut langkah seperti diambil Datuk Seri Najib Razak yang berjiwa besar meletak jawatan sebagai Presdien UMNO berikutan kegagalan pada PRU14.

Ketua Penerangan UMNO Shahril Sufian Hamdan juga turut meletak jawatan dan berpendapat Ahmnad Zahid juga perlu berundur secara terhormat dengan memikul tanggungjawab terhadap kekalahan parti itu.

Susulan daripada itu, beberapa pemimpin lain termasuk Tan Sri Noh Omar mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor selepas hilang kepercayaan tehadap kepimpinan Ahmad Zahid.

Dalam keputusan PRU15 yang diumum malam tadi BN hanya memenangi 30 kerusi Parlimen yang jumlahnya didapati lebih rendah berbanding PRU14 dengan kerusi yang dimenangi sebelum ini beralih ke Perikatan Nasional (PN).

Berita Harian X