Ahad, 20 November 2022 | 4:27pm
Rara (tengah) menang di Parlimen Bentong, Jo-anna (kiri) dan Cleopatra (kanan) tewas masing-masing di Parlimen Tuaran dan Batu.
Rara (tengah) menang di Parlimen Bentong, Jo-anna (kiri) dan Cleopatra (kanan) tewas masing-masing di Parlimen Tuaran dan Batu.

Rara buktikan calon 'beauty with brain' bukan sekadar penyeri

KUALA LUMPUR: Kehadiran calon 'beauty with brain' atau 'si cantik yang bijak' dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) terbukti bukan sekadar penyeri, sebaliknya ada yang mampu memberikan saingan termasuk kepada calon lebih berpengalaman.

Sebagai contoh, calon Pakatan Harapan (PH), Young Syefura Othman ataupun lebih dikenali Rara menang di Parlimen Bentong, menewaskan empat calon lain termasuk dua calon Bebas.

Meskipun dicabar rapat Tan Sri Liow Tiong Lai selaku calon Barisan Nasional (BN) yang dianggap nama besar dan berpengalaman, Rara tetap mendahului dengan majoriti 692 undi.

Rara antara 127 calon wanita yang bertanding di kerusi Parlimen pada PRU15 dengan 32 daripadanya melakar kemenangan di kerusi ditandingi.

Bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) pula, seramai 15 daripada 60 calon yang bertanding di Perlis, Perak, Pahang dan Bugaya di Sabah diisytihar menang di kerusi masing-masing.

Dalam pada itu, nasib enam lagi calon 'beauty with brain' tidak sebaik Rara, apabila tewas di kerusi ditandingi dengan tiga daripadanya kehilangan deposit.

Mereka ialah Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin ataupun lebih dikenali Cleopatra yang bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Batu, Dr Nurul Ashikin Mabahwi yang mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) di Parlimen Ampang dan calon Parti Warisan (WARISAN) Jo-anna Sue Henley Rampas.

Cleopatra walaupun tampak disenangi masyarakat sekitar Parlimen Batu, hanya mampu meraih 628 undi dalam saingan 10 penjuru. Dr Nurul Ashikin atau lebih dikenali Dr Banjir pula mendapat 2,653 undi, manakala Jo-anna meraih 5,728 undi.

Sementara itu, calon BN Parlimen Seremban, Felicia Wong meskipun tewas mampu meraih undi cukup besar untuk memberikan saingan kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, yang mengekalkan penguasaan di kerusi terbabit.

Calon PH bagi Parlimen Arau, Fathin Amelina Fazlie turut memberikan saingan apabila meraih 7,089 undi dalam saingan tiga penjuru di Parlimen Arau, berdepan nama besar termasuk penyandang Datuk Seri Shahidan Kassim yang mewakili PN.

Berita Harian X