Ahad, 20 November 2022 | 2:52pm
Keadaan di luar Istana Negara hari ini. - NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Keadaan di luar Istana Negara hari ini. - NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

Agong titah kemuka nama calon PM kepada Istana Negara esok

KUALA LUMPUR: Gabungan parti-parti politik yang dipersetujui perlu mengemukakan nama seorang Ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti untuk menjadi calon Perdana Menteri Ke-10 kepada Istana Negara sebelum jam 2 petang esok.

Ia selepas Istana Negara menerima keputusan rasmi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada jam 1.15 tengah hari tadi.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata dokumen dikemukakan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh jelas menyatakan tiada parti politik berjaya memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan baharu.

Justeru, katanya, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan ketua parti dan ketua gabungan parti politik dengan jumlah kerusi yang banyak memaklumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun bagi pembentukan kerajaan baharu.

Beliau berkata, makluman berkenaan adalah mengenai gabungan parti politik yang telah dipersetujui antara parti-parti dn gabungan parti-parti politik berkenaan bagi pembentukan kerajaan baharu pasca PRU15.

Katanya lagi, mereka akan diminta Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk mengemukakan nama seorang Ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti untuk menjadi calon Perdana Menteri kepada Istana Negara sebelum jam 2 petang esok.

"Selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, titah perkenan dan keputusan Seri Paduka berkenaan pembentukan kerajaan baharu dan pelantikan Perdana Menteri menerusi proses yang sudah dijelaskan adalah muktamad.

"Seri Paduka menasihati rakyat dan ketua parti-parti politik akur dan menghormati proses demokrasi serta menerima keputusan PRU15 dengan tenang serta berlapang dada demi menjaga keutuhan negara kerana negara ini umpama harta pusaka di mana pemimpin adalah pemegang amanahnya.

"Baginda turut mengingatkan bahawa negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil, berwibawa dan berintegriti untuk menjaga kemaslahatan rakyat dan memacu agenda kesejahteraan negara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Fadil juga memaklumkan, Seri Paduka mengajak rakyat untuk bersama mendoakan semoga proses pembentukan kerajaan baharu dipermudahkan dan berjalan lancar demi kepentingan dan kemakmuran negara.

"Baginda seterusnya turut mengajak rakyat untuk bersama mendoakan semoga Malaysia dirahmati dan diberkati serta dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah," katanya.

Terdahulu awal pagi tadi, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata PN sedia bekerjasama dengan mana-mana parti kecuali Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan yang bersih dan stabil.

Beliau yang berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh pada PRU15, turut memaklumkan gabungan diterajuinya akan mengadakan perbincangan dengan pimpinan parti dari Sabah dan Sarawak dalam masa terdekat.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudian mengumumkan pakatan itu sudah mencapai persetujuan dengan beberapa parti untuk mendapatkan majoriti mudah bagi membentuk Kerajaan Persekutuan baharu.

PRU15 semalam menjadi saingan paling sengit pernah dihadapi negara, berakhir dengan situasi tergantung apabila tiada parti mendapat majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan baharu.

Daripada 220 kerusi dipertandingkan pada PRU semalam, Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi dan PN dengan 73 kerusi.

PN juga membentuk kerajaan negeri di Perlis setelah memenangi 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Barisan Nasional (BN) pula mengalami kekalahan paling buruk dalam sejarah politiknya apabila hanya menang 30 daripada 178 kerusi yang ditandingi.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang 22 kerusi, berbanding 18 kerusi disandangnya pada Parlimen lalu; Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan enam kerusi; Warisan (3); Bebas (2) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) meraih satu kerusi.

Kerusi Parlimen Kota Marudu di Sabah dimenangi Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) melalui Datuk Wetrom Bahanda dengan majoriti 8,174 undi, manakala Gerakan Tanah Air (GTA) gagal memenangi sebarang kerusi.

Pilihan raya bagi kerusi Parlimen Padang Serai di Kedah ditangguhkan kepada 7 Disember selepas calon PH, yang juga penyandang kerusi, M Karupaiya meninggal dunia pada 16 November.

Pengundian di 11 pusat pengundian di kawasan Parlimen Baram di Sarawak digantung berikutan cuaca buruk menyebabkan petugasnya tidak dapat ke pusat berkenaan.

Berita Harian X