KUANTAN: Percaturan Barisan Nasional (BN) untuk mendapat lebih besar dengan sekurang-kurangnya 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kali ini tidak kesampaian.
Parti itu yang mentadbir kerajaan negeri sebelum ini hanya menang 16 daripada 41 kerusi yang dipertandingkan manakala Perikatan Nasional (PN) mendahului 17 kerusi dan Pakatan Harapan (PH) hanya lapan kerusi.
Keadaan itu menyebabkan kerajaan Pahang masih gagal dibentuk kerana tiada gabungan yang menang sekurang-kurangnya 21 kerusi bagi membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.
Keputusan PRU semalam menyaksikan PN mendapat 17 kerusi, BN 16 kerusi dan PH lapan kerusi.
Kemungkinan besar buat kali pertama dalam sejarah, kerajaan negeri Pahang akan diketuai parti gabungan yang diketuai PN atau BN walaupun setakat ini, masih belum ada sebarang pengumuman rasmi yang dibuat BN dan PN untuk menjalinkan kerjasama bagi membentuk kerajaan negeri.
Walaupun Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menang selepas meraih 10,092 undi menewaskan dua lagi pencabarnya namun masih menjadi teka teki parti yang akan membentuk dan mengetuai pentadbiran kerajaan negeri Pahang.
Namun, tumpuan kini terarah kepada parti yang akan bergabung dan bakal mengetuai pentadbiran kerajaan negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.
Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang bertanding di DUN Cheka dan disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar dari PN menang dengan majoriti 1,223 undi menewaskan tiga lagi pesaing termasuk pesaing terdekat Ho Fong Mee (BN) yang sekadar memperoleh 4,411 undi.
Bagi kerusi Beserah, PN yang diwakili Andasura Rabu sekali lagi diberi mandat dengan majoriti 11,521 undi yang lebih besar berbanding pada 2018.
Datuk Nazri Ngah yang juga bekas Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna mewakili BN tewas mengejut di Pulau Tawar dalam persaingan lima penjuru selepas kerusi itu dirampas Yohanis Ahmad (PN) yang meraih 12,986 undi dengan majoriti 3,487 undi.
Dua lagi kerusi DUN di Jerantut masing-masing Tahan dan Damak juga menjadi milik PN.
Kerusi Sungai Lembing yang diwakili BN sebelum ini berjaya dirampas calon PN, Mohamad Ayub Asri selepas menewaskan calon muka baru BN, Umar Arbain Dollah dengan majoriti 1,054 undi.
Mohammad Nizar Mohamad Najib yang juga anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan menjadi pertaruhan BN di Peramu Jaya menang selesa dengan majoriti 7,823 undi jauh meninggalkan pesaing terdekat calon PN, Abu Talib Muhammad yang sekadar menerima 11,514 undi.
PH terus mendominasi kerusi di kawasan majoriti pengundi Cina dan bandar selepas menang di lapan DUN iaitu Tanah Rata, Tras, Teruntum, Triang, Mentakab, Semambu, Bilut dan Ketari.