KUALA LUMPUR: Hampir semua teraju parti politik utama dan sebilangan kepimpinan tingginya berjaya mengekalkan penguasaan mereka di kerusi Parlimen yang ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, terus mempertahankan kerusi Parlimen Bera untuk penggal kelima, dengan majoriti 16,695 undi.
Naib Presiden UMNO dan calon Perdana Menteri bagi Barisan Nasional (BN) itu memperoleh 31,762 undi bagi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Abas Awang yang meraih 15,067 undi, dan Datuk Asmawi Harun mewakili Perikatan Nasional (PN) (12,719).
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Pagoh yang disandangnya, dengan majoriti 10,007.
Beliau yang juga calon Perdana Menteri PN, mendapat 24,986 undi yang mengatasi pencabarnya, Iskandar Shah (PH - 14,979) dan Datuk Seri Razali Ibrahim (BN - 14,426).
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga calon Perdana Menteri gabungan itu, menang di Parlimen Tambun dengan majoriti 3,736 undi.
Anwar yang bertanding di 'kerusi panas' itu memperoleh 49,625 undi bagi menumpaskan pesaing terdekatnya yang juga penyandang kerusi, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (45,889).
Dua calon lain yang tewas ialah Datuk Aminuddin Hanafiah daripada BN (28,140) dan Abdul Rahim Tahir (PEJUANG - 1,115 undi).
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula menang tipis di Parlimen Bagan Datuk dengan majoriti 348 undi.
Presiden UMNO itu mendapat 16,578 undi bagi mengalahkan pencabar terdekatnya yang juga bekas Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH - 16,230).
Sementara itu Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hassan, turut melakar kemenangan di Parlimen Rembau dengan majoriti 19,897 undi, selepas meraih 53,075 undi dan menewaskan empat calon lain termasuk pencabar terdekatnya, Jufitri Joha (PH - 33,178).
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mempertahankan kerusi Parlimen Marang, Terengganu, dengan majoriti selesa 41,729 undi.
Abdul Hadi yang memegang Parlimen itu sejak 2008, memperoleh 73,115 undi bagi menewaskan calon BN, Jasmira Othman (31,386), Ustaz Azhar (PH - 4,140) dan Dr Zarawi Sulong (PEJUANG - 427).
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, menang di Parlimen Sembrong yang dipegangnya sejak 2004, dengan majoriti 10,880 undi, selepas memperoleh 22,572 undi.
Bendahari Agung BN itu menewaskan calon PH, Hasni Abas (11,692) dan Joe Aziz (PH - 6,666).
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menang di Parlimen Ayer Itam dengan majoriti 2,963 undi, selepas memperoleh 18,911 undi.
Beliau yang juga Menteri Pengangkutan, menewaskan Sheikh Omar (PH - 15,948) dan Syafiq Aziz (PN - 11,833).
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Tapah dengan majoriti 5,064 undi, menewaskan calon PH, K Saraswathy, Datuk Muhammad Yadzan Mohammad (PN) serta tiga calon lain.
Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin yang mewakili PN, berjaya menamatkan dominasi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Putrajaya selama empat penggal.
Beliau menang dengan majoriti 2,310 undi, selepas memperoleh 16,002 undi dan menewaskan Tengku Adnan (13,692), Noraishah Mydin Abdul Aziz (PH - 5,988), Datuk Mohd Rosli Ramli (PEJUANG - 878); Samsudin PKPKL (Bebas - 63) dan Lim Fice Bee (Bebas - 20).
Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menang di Parlimen Bandar Tun Razak dengan majoriti 9,817 undi.
Beliau yang menang di Parlimen Pandan pada PRU14, memperoleh 43,476 undi bagi menewaskan penyandang kerusi, Datuk Kamaruddin Jaffar daripada PN yang mendapat 33,659 undi, dan Datuk Chew Yin Keen (BN - 15,886).
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, menang dengan majoriti 8,390 undi di Parlimen Kota Tinggi apabila memperoleh 25,410 undi.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan juga menang di Parlimen Pontian dengan majoriti 10,449, selepas memperoleh 23,201 undi.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang juga Ketua Wanita UMNO, menang di Parlimen Parit Sulong dengan majoriti 11,474 undi, selepas meraih 25,740 undi.
Turut menang ialah Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, di Parlimen Kota Bharu dengan memperoleh 41,869 undi dan berjaya dengan majoriti 22,613 undi
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, menang selesa di Parlimen Pandan selepas memperoleh 74,002 undi, menewaskan empat pencabar lain, dengan majoriti 48,296 undi.
Pengerusi DAP, Lim Guan Eng mengekalkan penguasaannya di Parlimen Bagan bagi penggal keempat selepas memperoleh 55,797 undi, menewaskan tiga calon lain, dengan majoriti 49,648 undi.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook turut menang besar di Parlimen Seremban, dengan majoriti 30,841 undi, selepas memperoleh 63,916 undi.
Presiden AMANAH, Mohamad Sabu, berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Kota Raja dengan majoriti 73,998 undi, selepas memperoleh 123,306 undi.
Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman seperti dijangka berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Muar dengan majoriti 1,345 undi, selepas memperoleh 19,961 undi.