MELAKA: Barisan Nasional (BN) Melaka gagal merealisasikan hasrat untuk meraih sekurang-kurangnya lima kerusi Parlimen di negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), malam tadi.
Keputusan yang agak mengejut itu turut menyaksikan BN terlepas dua kerusi yang dimenanginya pada PRU14 iaitu Jasin dan Masjid Tanah apabila kedua-duanya dimenangi calon Perikatan Nasional (PN).
Lebih mengejutkan, beberapa kerusi yang dijangka 'boleh menang' pada pilihan raya kali ini seperti Tangga Batu dan Alor Gajah turut terlepas apabila calon ditampilkan BN mungkin tidak memenuhi cita rasa pengundi.
Ia sekali gus menyaksikan BN gagal mendapat sebarang kerusi Parlimen di negeri berkenaan.
Percaturan parti dengan menukar kerusi Tangga Batu kepada MCA, berbanding UMNO sebelum ini membawa padah apabila calon yang diketengahkan parti itu, Datuk Lim Ban Hong gagal untuk merampas kembali kerusi berkenaan.
Ban Hong hanya mampu meraih 25,095 undi berbanding calon PN, Bakri Jamaluddin yang mendapat 37,406 undi, sekali gus memenangi kerusi yang disandang Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.
Rusnah Aluai yang dipilih semula PH sebagai calon gagal mempertahankan kerusi terbabit apabila mendapat 28,557 undi, diikuti calon PEJUANG, Ghazali Abu (702 undi) dan calon BEBAS, Shahril Mahmood (267 undi).
Bagi kerusi Alor Gajah pula menyaksikan saingan sengit antara Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan dengan bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari dan kemenangan berpihak kepada Pengerusi PH Melaka itu.
Dengan majoriti 890 undi, Shahril memperoleh 27,288 undi berbanding Adly yang memperoleh 28,178 undi.
Penyandang kerusi berkenaan daripada PN, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof atau Pak Wan hanya mampu memperoleh 17,211 undi, manakala calon PEJUANG, Muhammad Nazriq Abdul Rahman, 323 undi.
Di Jasin, calon berpengalaman BN, Datuk Roslan Ahmad yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau terpaksa akur dengan kekalahan tipis kepada calon PN, Zulkifli Ismail dengan majoriti 322 undi apabila mendapat 27,571 undi.
Zulkifli yang juga Pesuruhjaya PAS Melaka mendapat 27,893 undi.
Dua lagi calon iaitu Datuk Harun Mohamed daripada PH memperoleh 21,675 undi sementara calon PEJUANG, Datuk Mohd Daud Nasir pula 460 undi.
Masjid Tanah yang menjadi antara kerusi tumpuan di Melaka menyaksikan calon muda yang diketengahkan BN, Abdul Hakim Abdul Wahid gagal 'merobek' populariti penyandangnya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Ia terbukti apabila 'wanita besi' itu meraih 4,411 undi selepas mendapat 25,604 undi menewaskan Ketua Pemuda UMNO bahagian berkenaan yang memperoleh 21,193 undi.
Dua lagi calon di kerusi berkenaan, Mutalib Uthman (MUDA) dan Handrawirawan Abu Bakar (PEJUANG) masing-masing mendapat 7,445 undi dan 507 undi.
Penampilan sulung Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abdul Halim dalam pilihan raya nyata membawa tuah apabila meraih kemenangan bergaya dengan majoriti undi yang agak selesa di kerusi Hang Tuah Jaya.
Dengan 8,638 undi majoriti, Adam Adli berjaya memperoleh 39,418 undi, sekali gus menewaskan pencabarnya daripada BN, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali yang mendapat 30,780 undi, diikuti calon PN, Mohd Azrudin Md Idris (23,549 undi) serta calon PEJUANG, Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh pula mendapat 739 undi.
Kota Melaka yang sinonim sebagai kubu DAP dilihat sukar dimenangi parti lain.
Pada PRU15 malam tadi, DAP yang bertanding atas tiket PH berjaya mengekalkan kerusi itu apabila penyandangnya, Khoo Poay Tiong menang besar dengan majoriti 46,420 undi.
Poay Tiong yang menang di kerusi berkenaan bagi penggal ketiga memperoleh 73,995 undi menewaskan calon BN, Kon Qi Yao dengan 20,686 undi, diikuti calon BEBAS, Norazlan (925 undi) dan calon PN, Suhaime Borhan (27,575 undi).
Sehingga kini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh atau Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali susulan keputusan yang dianggap sangat mengejutkan itu.