KUANTAN: Perikatan Nasional (PN) mendominasi kerusi Parlimen di Pahang selepas menang tujuh daripada 14 kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berjaya mengekalkan kerusi Indera Mahkota dengan majoriti 8,399 undi.
Saifuddin mendapat 41,692 undi jauh meninggalkan pesaing terdekat Zuraidi Ismail yang mewakili Pakatan Harapan (PH) yang sekadar berpuas hati dengan 33,293 undi.
PN turut merampas kerusi Parlimen Rompin, Kuala Krau dan Maran yang sebelum ini dimenangi Barisan Nasional (BN) dalam pemilihan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) 2018.
Selain itu, PN juga turut membuat kejutan dengan merampas kerusi Parlimen Jerantut yang sebelum ini dimenangi BN selain merampas Parlimen Kuantan daripada PH.
BN pula sekadar berpuas hati dengan memenangi lima kerusi masing-masing di Pekan, Cameron Highlands, Paya Besar, Lipis dan Bera.
Bera yang diwakili Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menang dengan majoriti 16,695 undi mengatasi dua lagi lawannya masing-masing dari Pakatan Harapan (PH) dan PN.
PH pula berjaya mempertahankan kemenangan di dua kerusi tradisi masing-masing di Bentong dan Raub.