Ahad, 20 November 2022 | 3:04am
Hamzah meraikan kemenangan PN. - Foto hiasan NSTP/ASWADI ALIAS
Hamzah meraikan kemenangan PN. - Foto hiasan NSTP/ASWADI ALIAS

PRU15: Hamzah kekal di Larut

LARUT: Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin mempertahan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU 15), dengan menang majoriti besar 11,598 undi.

Hamzah memperolehi sebanyak 28,350 undi dan jauh meninggalkan calon tiga parti lawan dari Barisan Nasional (BN), Syafiq Fhadly Mahmud, yang memperoleh 16,752 undi.

Calon Pakatan Harapan (PH), Zolkarnain Abidin mendapat 6,207 undi dan diikuti calon Pejuang, Auzaie Fadhlan Shahidi yang meraih 566 undi.

Tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Larut, iaitu Selama, Batu Kurau dan Kubu Gajah turut dimenangi PN dengan majoriti yang besar.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Mohd Akmal Kamarudin berjaya meraih 10,358 undi bagi mempertahan kerusi DUN Selama dengan 5,358 undi majoriti mengalahkan calon BN, Faizul Rizal Zulkifli yang memperolehi 5,000 undi.

Calon PH, Razali Ismail mendapat 2,343 undi dan calon Bebas, Osman Sidek 61 undi.

Khalil Yahaya mempertahan kerusi DUN Kubu Gajah dengan mendapat 9,868 undi dengan majoriti 4,322 undi dalam pertembungan empat penjuru dengan calon BN, Osman Ahmad (5,546 undi), Rusli Bakar dari PH (1,188 undi) dan calon Pejuang, Fuaddin Kamaruddin (79 undi).

DUN Batu Kurau juga menyaksikan calon PN, Mohd Najmuddin Elias berjaya meraih 8,806 undi dengan 3,218 majoriti, menewaskan tiga pencabarnya iaitu, Saliza Ahmad dari BN (5,588 undi), Muhamad Aiman Azizuddi Md Husin dari PH (2669 undi) dan Zulkifli dari Pejuang (317 undi).

Berita Harian X