Ahad, 20 November 2022 | 3:03am
BN gagal mempertahankan Parlimen Kepala Batas, gagal merampas kembali Parlimen Tasek Gelugor. FOTO NSTP
BN gagal mempertahankan Parlimen Kepala Batas, gagal merampas kembali Parlimen Tasek Gelugor. FOTO NSTP

PRU15: BN 'tenggelam' di Pulau Pinang

GEORGETOWN: Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan penguasaan Barisan Nasional (BN) di Pulau Pinang 'tenggelam' selepas kubu kuat mereka, Kepala Batas dan Tasek Gelugor kini dikuasai Perikatan Nasional (PN).

Meskipun BN Pulau Pinang sebelum ini yakin mempertahankan Parlimen Kepala Batas dan merampas kembali Parlimen Tasek Gelugor yang dimenangi sebelum ini sebelum wakil rakyatnya melompat parti, namun parti itu terpaksa akur 'pengaruh' gabungan itu semakin terhakis di negeri itu pada hari ini.

Kekalahan penyandang kerusi Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sejak dua penggal lalu, memberi kejutan besar bagi BN negeri itu.

Apatah lagi, BN menguasai Kepala Batas sejak 1974 termasuk ketika di bawah bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum Reezal Merican diberi mandat di parlimen itu pada PRU 2008.

Tamparan besar turut dialami calon BN bagi kerusi Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Muhamad Yusoff Mohd Noor yang sebelum itu diyakini mampu meraih sokongan pengundi berikutan sikapnya yang mesra serta mudah didekati penduduk kampung.

Pada awalnya, beliau dikategorikan sebagai calon 'underdog' kerana keupayaannya di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai Ahli DUN (ADUN) Sungai Dua dengan meraih majoriti agak tinggi ketika tsunami politik melanda pada PRU14. Bagaimanapun, kedua-duanya tumbang di tangan calon PN.

Sementara itu, Reezal Merican dalam hantarannya di Facebook (FB) berkata, beliau menerima keputusan PRU15 hari ini dengan berlapang dada.

"Hari ini rakyat di Kepala Batas menjalankan hak demokrasi dalam memilih wakil rakyat mereka. Hari ini juga saya menerima dengan berlapang dada, keputusan PRU15 tidak memihak kepada BN di Kepala Batas ini," katanya.

Bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu turut merakamkan ucapan tahniah kepada calon PN, Dr Siti Mastura Muhammad atas kemenangan dan berharap dapat meneruskan semua agenda rakyat diusahakan sepanjang beliau diberi mandat sebagai Ahli Parlimen Kepala Batas.

"Terima kasih juga kepada pengundi atas sokongan dan peluang kepada saya berkhidmat mewakili Kepala Batas dalam dua penggal sebelum ini.

"Insya-Allah, khidmat saya dan pasukan untuk Kepala Batas tidak akan terhenti hanya dengan keputusan PRU15 ini. Saya juga akan terus berkhidmat di Kepala Batas," katanya.

Berita Harian X