PASIR GUDANG: "Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pengundi yang ambil bahagian dalam pengundian pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan sekali lagi memberi saya peluang untuk mempertahankan kerusi Parlimen Pasir Gudang," kata calon Pakatan Harapan (PH), Hassan Abdul Karim, 71.
Hassan berkata, dia bersyukur dan menghargai keyakinan diberikan mengundi terhadap dirinya, mahupun parti.
Beliau berkata, dia juga gembira kerana majoriti undian yang dimenangi meningkat berbanding pada PRU14 dan dia tidak menafikan ia berikutan faktor peningkatan bilangan populasi penduduk di Pasir Gudang dan semakin padat.
Katanya, ia menandakan bahawa tanggungjawabnya semakin besar dan dia bertekad untuk terus memberi perhatian kepada tugasan, khidmat dalam memenuhi aspirasi rakyat.
"Kejayaan ini adalah sesuatu yang tidak ternilai bagi saya mahupun parti. Sebelum ini saya tidak meletakkan keyakinan sepenuhnya untuk menang kerana bertanding dengan parti komponen lain yang besar.
"Namun kuasa mengundi rakyat menentukan segala-galanya, sekali lagi saya mengucapkan penghargaan kepada pengundi," katanya ketika dihubungi.
Pada PRU14, Hassan menewaskan bekas Menteri Besar Johor iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dengan majoriti 24,526 undi.
Pada PRU15, Hassan menang dengan majoriti 31,558 undi, mengatasi pesaingnya, Mohamad Farid Abdul Razak (PN) yang memperoleh 39,675 undi, Noor Azleen Ambros (BN) sebanyak 37,369 serta Mohammad Raffi Beran (PEJUANG) 1,003 undi.