KLUANG: "Saya terima keputusan ini dengan hati yang terbuka," kata Dr Maszlee Malik, selepas kalah dalam perebutan kerusi Parlimen Simpang Renggam pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Dalam kenyataan ringkas yang dimuat naik dalam laman Facebook rasminya sebentar tadi, Maszlee berkata, beliau sudah memberikan yang terbaik sepanjang menjalankan amanah sebagai bekas Ahli Parlimen Simpang Renggam.
"Saya mengambil ruang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi-pengundi Simpang Renggam yang telah mengundi saya.
"Saudara-saudari, sebagai Ahli Parlimen Simpang Renggam. Saya mohon maaf atas salah silap sepanjang saya menjalankan tugas.
"Sesungguhnya saya juga seorang manusia biasa. Saya berdoa semoga Simpang Renggam terus maju jaya. Terima kasih Simpang Renggam," katanya.
Dalam pada itu, hantarannya itu dibanjiri dengan komen penyokongnya yang menzahirkan rasa sedih kerana kekalahannya itu.
Pengikutnya, Marhalis Hasan, berkata Maszlee menjadi inspirasi dan harapan ramai rakyat Malaysia terutama dalam reformasi pendidikan Malaysia.
"Namun bukan melalui jalan Simpang Renggam. Mungkin jadi Senator nanti Insya-Allah. Terima kasih telah buat yang terbaik," katanya.
Bagi Daniel Othman, pula, beliau menganggap Maszlee selamanya hero bukan sahaja untuk penyokongnya, malah generasi pada masa depan.
"Jangan pernah putus asa untuk pendidikan anak-anak sebab kami amat perlukan pemimpin yang pentingkan pendidikan lebih dari segala-segala yang sekarang ini hampir tandus," katanya.
Pada PRU15 ini, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Datuk Seri Hasni Mohammad diumumkan sebagai Ahli Parlimen Simpang Renggam selepas meraih 18,312 undi dengan majoriti 1,821 undi.