Ahad, 20 November 2022 | 2:25am
Calon Parlimen dan DUN dalam kawasan Arau selepas diumumkan secara rasmi sebagai pemenang pada PRU15. - BERNAMA
Calon Parlimen dan DUN dalam kawasan Arau selepas diumumkan secara rasmi sebagai pemenang pada PRU15. - BERNAMA

PN sapu bersih Perlis, hanya DUN Indera Kayangan milik PH

KANGAR: Perikatan Nasional (PN) secara rasmi membentuk kerajaan negeri yang baharu di Perlis, sekali gus menamatkan penguasaan Barisan Nasional (BN) di negeri itu sejak lebih enam dekad lalu.

Berdasarkan keputusan rasmi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), PN menyapu bersih semua tiga kerusi Parlimen iaitu Padang Besar, Kangar dan Arau, selain menang di 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Satu-satunya kerusi yang terlepas daripada penguasaan PN adalah DUN Indera Kayangan yang dimenangi calon Pakatan Harapan (PH), Gan Ay Ling.

Ay Ling yang memperoleh 4,830 undi, disahkan menang dengan majoriti 1,873 undi mengatasi tiga lagi calon di kerusi DUN dalam kawasan Parlimen Kangar itu.

Berdasarkan rekod, Perlis dianggap sebagai kubu kuat BN kerana sering dikuasai gabungan itu sejak 65 tahun lalu.

Meskipun kebanyakan negeri dikuasai BN terkesan dengan tsunami politik yang melanda negara ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Perlis tetap kekal dalam penguasaan BN.

Pada PRU14, BN mengekalkan penguasaan di Perlis apabila memenangi 10 daripada 15 kerusi DUN iaitu Titi Tinggi, Chuping, Santan, Pauh, Beseri, Mata Ayer, Bintong, Kayang, Tambun Tulang dan Simpang Empat.

PKR pula menambah dua lagi kerusi DUN iaitu Sena dan Kuala Perlis, selain Indera Kayangan yang dikuasai, manakala PAS menguasai DUN Guar Sanji dan Tambun Tulang.

Berita Harian X