Ahad, 20 November 2022 | 2:20am

Nurul Izzah tewas di Permatang Pauh

BUKIT MERTAJAM: Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan mencipta sejarah tersendiri apabila memenangi Parlimen Permatang Pauh yang merupakan kubu kuat PKR sejak 1982.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang menang dengan majoriti 5,272 selepas memperoleh 37,638 undi mengatasi penyandang yang juga Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang meraih 32,366 undi.

Muhammad Fawwaz berpandangan gelombang yang sangat besar telah berlaku di Permatang Pauh sekali gus menyaksikan kebangkitan anak muda dan sokongan daripada pengundi atas pagar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berbeza berbanding PRU14.

"Hal ini merupakan satu perkara yang sangat positif sebenarnya dan saya mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi di Permatang Pauh kerana memberi kepercayaan kepada PN.

"Insya-Allah pertama sekali apabila menjadi wakil rakyat perkara utama yang diberikan tumpan ialah soal kebajikan yang menjadi fokus utama selain isu-isu lain," katanya kepada pemberita sebentar tadi.

Terdahulu, Muhammad Fawwaz, 39, turut menewaskan dua lagi pencabarnya iaitu

Datuk Mohd Zaidi Zaidi Mohd Said (Barisan Nasional) yang mendapat 16,971 undi dan Mohd Nasir Othman (PEJUANG) sebanyak 473 undi.

Keputusan tersebut diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Muzkhairil Muhamad bagi Pusat Pengumpulan Rasmi Undi Parlimen Permatang Pauh di Insitut Kemahiran Tinggi Belia Negara Bukit Mertajam pada jam 1.35 pagi ini.

Nurul Izzah sebelum ini mengekalkan penguasaan PKR di Parlimen Permatang Pauh sejak 1998 apabila memenangi PRU14 dengan majoriti 15,668 undi.

Beliau mendapat 35,534 undi mengalahkan Mohd. Zaidi (BN) yang memperoleh 19,866 undi dan Afnan Hamimi Taib Azamudden dari PAS (14,428 undi).

Kerusi tersebut sebelum ini disandang sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim atau isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sejak tahun 1982.

Berita Harian X