REMBAU: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berjaya memenangi kerusi Parlimen Rembau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), sekali gus mempertahankan kerusi itu yang menjadi milik BN sejak tiga penggal lalu.
Sebelum ini Parlimen Rembau disandang Khairy Jamaluddin, yang bertanding di Parlimen Sungai Buloh.
Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO memperoleh 53,075 undi menewaskan empat pencabar lain dengan majoriti 19,897 undi.
Pesaing terdekat Mohamad, Jufitri Joha daripada Pakatan Harapan (PH) memperoleh 33,178 undi, manakala Mohd Nazree Mohd Yunus (Perikatan Nasional) memperoleh 21,875 undi.
Dua lagi calon iaitu S Tinagaran (Parti Sosialis Malaysia) dan Ramly Awaluddin (PEJUANG) masing-masing memperoleh 779 dan 529 undi.
Keputusan rasmi itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Rembau, Mohd Najib Mustafa di pusat penjumlahan undi di Dewan Seri Rembau, di sini, jam 1 pagi tadi.
Mohamad yang juga Ketua UMNO Bahagian Rembau pertama kali bertanding kerusi berkenaan pada PRU15.
Beliau bagaimanapun tidak berada di dalam dewan ketika pengumuman keputusan kerana berada di Ibu Pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.