Ahad, 20 November 2022 | 1:44am

PH kuasai Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) menguasai 10 daripada 12 kerusi Parlimen di Kuala Lumpur dan Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) semalam.

Sehingga jam 1 pagi ini, secara rasmi PH memenangi kerusi Parlimen Bukit Bintang, Kepong dan Lembah Pantai manakala sedang mendahului di kerusi lain iaitu Batu, Bukit Bintang, Seputeh, Segambut, Cheras, Setiawangsa dan Bandar Tun Razak.

Bagaimanapun, PH gagal mempertahankan kerusi Parlimen Titiwangsa apabila calon BN, Datuk Johari Abdul Ghani menang dengan majoriti 4,632 menewaskan Khalid Abdul Samad (PH - 20,410 undi); Dr Rosni Adam (PN-14,218) dan

Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan (Pejuang - 888 undi).

Kerusi Titiwangsa dimenangi Datuk Seri Rina Harun yang bertanding atas tiket PKR pada PRU14.

Calon PH di Lembah Pantai, Fahmi Fadzil mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 13,912.

Calon PH, Fong Kui Lun pula menang di Bukit Bintang dengan majoriti 38,977 undi menewaskan dua pencabarnya Chen Win Keong (PN) dan Tan Teik Peng (BN).

Lim Lip Eng pula mempertahankan kerusi Kepong dengan majoriti 61,081 mengalahkan empat pencabarnya Phaang Jing Fatt (PN); Young Shang Yi (Warisan); Yap Zheng Hoe (BN) dan Yee Poh Ping (Bebas).

Sementara itu, di kerusi Putrajaya, calon PN, Datuk Dr Radzi Jidin merampas kerusi itu dengan majoriti 2,310 menewaskan penyandang Datuk Seri Tengku Adnan Mansor dari BN, Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz (PH) dan Datuk Mohd Rosli Ramli (Pejuang).

Berita Harian X