KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) Johor gagal mencapai sasarannya untuk memenangi sekurang-kurangnya 20 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) apabila sekadar
memperoleh sembilan kerusi Parlimen.
Prestasi BN Johor pada PRU15 itu sekali gus gagal mencapai sasaran yang diletakkan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Pengarah Pilihan Raya BN.
Sebelum kempen PRU15, Mohamad dilaporkan berkata sasaran kemenangan 20 kerusi Parlimen di Johor itu amat penting bagi membolehkan gabungan itu membentuk kerajaan dominan selepas PRU15 nanti.
Selain kerusi Parit Sulong, Ayer Hitam, Sembrong, Tenggara, Kota Tinggi, Pengerang, Pontian dan Tanjung Piai yang turut dimenangi pada PRU14, BN berjaya merampas semula kerusi Parlimen Simpang Renggam apabila Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad, menewaskan Dr Maszlee Malik dengan majoriti 1,821 undi.
Kegagalan itu mengulangi sejarah hitam BN Johor pada PRU14 apabila hanya menang lapan kerusi Parlimen daripada 26 jumlah kerusi di negeri itu.
Pada PRU15 kali ini, Pakatan Harapan (PH) menepati ramalan awal apabila mencatatkan kemenangan di 15 kerusi Parlimen, yang semuanya dimenangi pada PRU14, berbanding pada PRU13, BN Johor cemerlang apabila menang 21 kerusi Parlimen.
PH mencatatkan kemenangan di Parlimen Segamat, Sekijang, Labis, Ledang, Bakri, Sri Gading, Batu Pahat, Kluang dan Tebrau.
Selain itu, PH Johor turut menang di Pasir Gudang, Johor Bahru, Pulai, Iskandar Puteri, Kulai dan Muar yang dimenangi calon MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Perikatan Nasional (PN) turut mengekalkan dua kerusi Parlimen yang dimenangi pada PRU14 lalu iaitu kerusi Parlimen Pagoh yang ditandingi Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memperoleh majoriti 10,007 undi, sekali gus mencipta kejayaan tersendiri apabila berjaya mempertahankan kawasan itu sejak 1978.
PN turut mengekalkan kerusi Parlimen Mersing yang dimenangi calonnya, Muhammad Islahuddin Abas dengan majoriti 2,337 undi. Pada PRU14 lalu, kerusi itu dimenangi Datuk Dr Abd Latiff Ahmad yang bertanding dengan tiket BN sebelum menyertai BERSATU.