Ahad, 20 November 2022 | 12:40am
Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Selangor, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz (kiri) tewas di tangan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dari Pakatan Harapan (PH).
Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Selangor, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz (kiri) tewas di tangan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dari Pakatan Harapan (PH).

Tengku Zafrul tewas, Dr Dzulkefly berjaya pertahan kerusi Kuala Selangor

KUALA LUMPUR: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Selangor, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz gagal di kerusi berkenaan selepas penyandang Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dari Pakatan Harapan (PH) berjaya mempertahankannya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bekas Menteri Kewangan itu memperoleh sebanyak 30,031 undi manakala Dr Dzulkifli menang tipis dengan kelebihan 1,002 undi selepas memperoleh 31,033 undi.

Pada masa sama di Pandan, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli memperoleh sebanyak 74,002 undi dengan majoriti 48,296 mengalahkan pesaing terdekat, Muhammad Farique Zubir Albakri dari BN yang mendapat 25,706 undi.

Setakat jam 11.40 malam tadi, penyandang kerusi Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ditinggalkan pesaingnya, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang memperoleh 41,438 undi dengan majoriti 7,538 undi.

Mohamed Azmin yang juga Calon Perikatan Nasional (PN), memperoleh 33,900 undi; calon BN, Datuk Megat Zulkarnain Omardin (18,072 undi); calon Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Datuk Dr Aziz Jamaludin Mhd Tahir (1,315 undi); dan calon Bebas, Zulkifli Ahmad (296 undi).

Di Sungai Buloh pula, calon PH, Datuk R Ramanan mendahului dengan 21,157 undi, diikuti Khairy Jamaluddin (BN) yang memperoleh 19,459 undi.

Berita Harian X