Oleh Alzahrin Alias
KUALA LUMPUR: PAS yakin Perikatan Nasional (PN) akan dapat membentuk kerajaan Persekutuan selepas mencapai keputusan memberangsangkan pada PRU-15.
"PAS yakin PN akan dapat membentuk kerajaan dalam pilihan raya kali ini. Ini adalah berdasarkan kepada keputusan undian awal," kata Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada sidang media khas di Ibu Pejabat Pas, Jalan Raja Laut, di sini, malam ini.
"Kami akan berusaha sedaya upaya dengan rakan Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk kerajaan dan Kabinet," katanya.
Abdul Hadi berkata, kemenangan yang dicapai dalam PRU15 ini adalah hasil kerjasama semua ahli PAS dan rakan-rakan dalam PN.
Beliau berkata, PAS akan berusaha sedaya mungkin melaksanakan semua tawaran yang telah dijanjikan dan meneruskan agenda wawasan induk negara sejahtera 2051 (WINS2051).
"PAS mengucapkan terima kasih kepada semua kerana meletakkan kepercayaan kepada kami dan PN terutamanya pengundi muda.
"Pengorbanan pengundi adalah sangat dihargai dalam memastikan PN terus mendapat mandat," katanya.
Abdul Hadi berkata, pihaknya bersyukur kepada Allah kerana menganugerahkan kemenangan selesa kepada PAS dan PN dalam PRU-15 berdasarkan keputusan tidak rasmi.
"Tahniah saya ucapkan kepada seluruh rakyat Malaysia yang menjalankan tanggungjawab memilih kepimpinan negara.
"Saya mewakili PAS ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi yang meletakkan kepercayaan kepada PAS dan rakan gabungan dalam PN terutama pengundi muda, pengundi awal pelbagai kaum dan latar belakang," katanya.
Ketika ditanya adakah PAS bersedia untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Terengganu, dan Kedah selepas kemenangan ini, Abdul Hadi berkata perkara itu akan dibincangkan kemudian.
Beliau berkata, ketika ini tidak sesuai diadakan Pilihan Raya Negeri kerana faktor cuaca dan kemungkinan berlakunya banjir.
"PRN akan dibincangkan kemudian. Ketika ini tidak sesuai kerana faktor cuaca," katanya.
Setakat jam 12 tengah malam tadi, PN dan PAS memperoleh 35 kerusi, termasuk dilaporkan menyapu bersih semua kerusi Parlimen di Kelantan dan Terengganu.