JASIN: Perikatan Nasional (PN) secara rasmi diumumkan menang di kerusi Parlimen Jasin pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan majoriti tipis.
Zulkifli Ismail yang mewakili PN menang dengan majoriti 322 undi selepas memperoleh 27,893 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Roslan Ahmad yang mendapat 27,571 undi, calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Harun Mohamed sebanyak 21,675 undi dan calon PEJUANG, Datuk Mohd Daud Nasir 460 undi.
Kemenangan Zulkifli yang juga Pesuruhjaya PAS Melaka itu, sekali gus menyaksikan Jasin buat pertama kali dimenangi parti pembangkang selepas kawasan itu dikenali sebagai kubu BN sejak merdeka.
Keputusan rasmi diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Jasin, Rahizi Ranom di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi Parlimen Jasin di Dewan Platinum Politeknik Merlimau, di sini, malam ini.
Pada PRU14, Parlimen Jasin dimenangi Datuk Seri Ahmad Hamzah dengan majoriti 219 undi apabila mendapat 26,560 undi menewaskan calon PKR, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan (26,341 undi) dan calon PAS, Abd Alim Shapie (8,860 undi).
Kawasan itu pernah diwakili bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Ghafar Baba dan bekas Ketua Menteri, Allahyarham Datuk Seri Abu Zahar Isnin.