Ahad, 20 November 2022 | 12:26am
Ahmad Amzad bersama isteri, Datin Dr Nur Diana Ahmad Takri selepas diumumkan pemenang kerusi Parlimen Kuala Terengganu. - Foto NSTP/Malik Muhamad
Ahmad Amzad bersama isteri, Datin Dr Nur Diana Ahmad Takri selepas diumumkan pemenang kerusi Parlimen Kuala Terengganu. - Foto NSTP/Malik Muhamad

PRU15: Ahmad Amzad menang besar

KUALA TERENGGANU: Penyandang kerusi Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim mempertahankan kerusi dengan majoriti 40,907 undi.

Bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi daripada PAS itu merakam kemenangan kali kedua berturut-turut dengan majoriti jauh lebih besar berbanding PRU-14 lalu.

Beliau mendapat 63,016 undi, mengetepikan tiga lagi pencabarnya termasuk dua nama besar iaitu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yang mewakili Pakatan Harapan (PH) dan Datuk Mohd Zubir Embong daripada Barisan Nasional (BN) selain calon PEJUANG, Mohamad Abu Bakar Muda yang kali pertama mencuba nasib.

Kemenangan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu diumumkan oleh Pengurus Pilihan Raya Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Faris Abdul Razak di Pusat Penjumlahan Undi Stadium Negeri di sini, malam ini.

Dalam 'pertempuran' empat penjuru itu, Mohd Zubir memperoleh 22,109 undi, Raja Kamarul Bahrin Shah mendapat 10,946 undi manakala Mohamad Abu Bakar memperoleh 481 undi.

Sebanyak 767 undi di tolak daripada 96,552 undi dengan peratus undi sebanyak 79.16.

Pada PRU14 lalu, Ahmad Amzad menang dengan majoriti 14,773 undi selepas memperoleh 42,988 undi menewaskan calon dari BN, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail (28,215 undi) serta calon PH, Raja Kamarul Bahrin (15,380 undi).

Berita Harian X