GEORGETOWN: Pakatan Harapan (PH) mengukuhkan cengkaman mereka di Pulau Pinang apabila mendominasi 10 daripada 13 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Seperti dijangka, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng mempertahankan Parlimen Bagan dengan majoriti besar 49,648 undi apabila meraih 55,797 undi.
Guan Eng yang memenangi Parlimen Bagan sejak 2008, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Lan Oh (6,149 undi), calon Barisan Nasional (BN) Tan Chuan Hong sekadar meraih 5,385 undi dan hilang deposit serta calon Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Mohd Hafiz Mohamed Abu Bakar (1,323 undi).
Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Naib Pengerusi DAP, Chow Kon Yeow memenangi Parlimen Batu Kawan
selepas mendapat 50,744 undi dengan majoriti 40,400 undi.
Kon Yeow mengenepikan cabaran Wong Chia Zhen dari Perikatan Nasional (PN), Tan Lee Huat dari Barisan Nasional (BN), Ong Chin Wen mewakili Parti Warisan (WARISAN) dan wakil Parti Rakyat Malaysia (PRM), Lee Ah Leong.
Lee Huat, Chin Wen dan Ah Leong masing-masing hilang deposit selepas sekadar meraih 7,145 undi, 450 undi dan 148 undi
PH turut mempertahankan Parlimen Bukit Mertajam menerusi Steven Sim dengan RSN Rayer kekal di Jelutong), Ram Karpal Singh (Bukit Gelugor), Sim Tze Tzin (Bayan Baru) dan Muhamad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau).
PH turut merampas kembali Parlimen Nibong Tebal menerusi calonnya Fadhlina Sidek yang memperoleh 42,188 undi selepas menewaskan penyandangnya, Datuk Mansor Othman dan calon Barisan Nasional (BN) serta Bebas.
Seperti dijangka, PH kekal berkuasa di Parlimen Bukit Bendera menerusi calon baharu, Syerleena Abdul Rashid manakala adik perempuan Guan Eng, Lim Hui Ying menang di Parlimen Tanjong.
Sementara itu, kejutan berlaku di Parlimen Permatang Pauh apabila penyandangnya, Nurul Izzah Anwar gagal mempertahankan kerusi itu dalam saingan empat penjuru apabila tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN) dari PAS, Muhammad Fawwaz Mat Jan.
Ketua Penerangan BERSATU, Wan Saiful Wan Jan pula memenangi Parlimen Tasek Gelugor dalam saingan lima penjuru, sekali gus mengekalkan penguasaan PN di kerusi itu.
Turut mengejutkan apabila penyandang kerusi Parlimen Kepala Batas dari BN, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican tewas kepada calon PN, Dr Siti Mastura Muhammad yang bertanding kali kedua di parlimen sama selepas PRU14.