Ahad, 20 November 2022 | 12:22am
Pusat pentadbiran kerajaan persekutuan, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. - Foto fail NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Pusat pentadbiran kerajaan persekutuan, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. - Foto fail NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Tiada gabungan bentuk kerajaan setakat jam 11 malam

KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) agak sengit apabila setakat jam 11 malam ini, tiada parti atau gabungan yang memperoleh majoriti selesa untuk membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu.

Keputusan tidak rasmi menunjukkan Pakatan Harapan (PH) di depan dengan memperoleh lebih 65 kerusi, mendahului Barisan Nasional (BN) dengan 19 kerusi, Perikatan Nasional (PN) 42 kerusi, Gabungan Parti Sarawak (GPS) 15 kerusi, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (3), manakala WARISAN Parti Bangsa Malaysia (PBM) masing-masing satu kerusi.

Bagaimanapun, berdasarkan laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hingga jam 11 malam, hanya 65 kawasan sudah diisytiharkan keputusan, namun tiada parti yang mendahului dengan keputusan menunjukkan angka yang dimenangi setiap parti adalah seimbang.

Seperti yang diramalkan banyak pihak, terutama penganalisis politik dan firma penyelidikan pilihan raya, keputusan PRU15 kali ini tiada petunjuk yang jelas parti mana yang boleh mendominasi atau mendahului.

Dengan keputusan ini sekiranya ia berlanjutan dikhuatiri akan berlaku Parlimen tergantung apabila tiada mana-mana parti atau gabungan pilihan raya yang gagal memenangi majoriti mutlak di Dewan Rakyat.

PRU15 menyaksikan hanya 220 kerusi dipertandingkan berbanding 222 kerusi berikutan pengundian kerusi Padang Serai, di Perak ditangguhkan kerana kematian calon PH, Rabu lalu.

Semalam pula, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggantung proses pengundian di 11 pusat mengundi dalam Parlimen Baram di Sarawak berikutan cuaca buruk.

110 kerusi majoriti mudah

Ini bermakna untuk PRU kali ini hanya 110 kerusi dikira sebagai majoriti mudah.

Platform media sosial komunikasi Barisan Nasional (BN), BN Comms melaporkan, setakat 7.15 malam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, masing-masing mendahului di kerusi Parlimen Bera dan Rembau yang mereka tandingi.

Perebutan sengit kerusi Tambun antara Pengerusi PH yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Setakat jam 11 malam, Anwar mendahului 22,440 undi, meninggalkan Ahmad Faizal (17,410 undi), Datuk Aminuddin Md Hanafiah (BN) 10,338 undi dan Abdul Rahim Tahir (PEJUANG) 413 undi.

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng menang di Bagan, manakala Setiausaha Agungnya, Anthony Loke mempertahankan kerusi Seremban.

Pemimpin utama lain yang melakar kemenangan ialah Pengerusi PN yang juga Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang mempertahankan kerusi Pagoh, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menang di Parlimen Marang, manakala Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang beralih ke Kota Tinggi, juga memperoleh kemenangan.

Seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid tewas di Parlimen Padang Terap.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Kaa Siong juga mencatatkan kemenangan di Parlimen Ayer Itam.

Calon BN di Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad yang bertanding di Parit Sulong, juga mempertahankan kerusi masing-masing.

Presiden Parti Ikatan Demokratik (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menang di Parlimen Muar untuk dua PRU berturut-turut.

Tengku Razaleigh tewas

Calon BN yang juga bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said kalah di Parlimen Kemaman manakala calon paling lama bertanding PRU, Tengku Razaleigh Hamzah gagal di Gua Musang.

Kejutan juga berlaku kali ini apabila setakat jam 11 malam, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad gagal mempertahankan kerusi Langkawi.

Sementara itu, Parlimen Igan, Sarawak menjadi kerusi Parlimen pertama yang disahkan keputusannya secara rasmi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), malam tadi.

Kerusi berkenaan yang menyaksikan pertandingan satu lawan satu, menjadi milik penyandang Ahmad Johnie Zawawi yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS), menewaskan Andri Zulkarnaen Hamden daripada Pakatan Harapan (PH) dengan majoriti 14,662 undi.

Pusat-pusat pengundian bagi PRU15 dibuka sejak 8 pagi tadi di Semenanjung Malaysia dan ditutup pada 6 petang manakala proses pengundian di Sabah, Sarawak dan Labuan bermula pada 7.30 pagi selesai di antara 11 pagi hingga 5.30 petang.

Pada PRU kali ini, PH mempertaruhkan calon teramai iaitu 206 orang, BN seramai 178 calon, PN (149), PEJUANG (116) dan WARISAN (52).

PRU15 juga menyaksikan 108 calon Bebas bertanding, sekali gus teramai dalam sejarah pilihan raya umum negara.

Berita Harian X