Sabtu, 19 November 2022 | 11:47pm

PRU15: Laungan Abah bergema selepas Muhyiddin diumum menang

SHAH ALAM: Suasana di pusat media Perikatan Nasional (PN) meriah dengan sorakan dan laungan penyokong meraikan kemenangan rasmi calon mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang disiarkan secara langsung.

Rata-rata mereka meluangkan kegembiraan setiap kali calon PN diumumkan secara rasmi termasuk melaungkan 'abah', panggilan yang sinonim dengan Pengerusi gabungan itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi meraikan kemenangannya.

Terdahulu, laungan takbir turut bergema apabila keputusan PRU15 bagi Parlimen Marang diumumkan yang menyaksikan, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang bertanding atas tiket PN menang bergaya dengan majoriti 41,729 undi.

Muhyiddin berjaya mempertahankan kerusi Parlimennya di Pagoh dalam PRU15 apabila menang besar dengan meraih 24,986 undi dengan memperoleh majoriti 10,007 undi.

Setakat jam 11.35 malam, PN secara rasmi memenangi 20 kerusi Parlimen dan secara tidak rasmi merampas Perlis yang sebelum ini menjadi deposit tetap Barisan Nasional (BN).

Berita Harian X