KUALA LUMPUR: Di sebalik keyakinan Barisan Nasional (BN) mampu memenangi 112 kerusi untuk membentuk kerajaan majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), pemimpin parti itu tetap mengharapkan pengundi beramai-ramai keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengharapkan pengundi keluar menunaikan tanggungjawab untuk memilih wakil rakyat masing-masing sekali gus mewakili suara mereka untuk tempoh lima tahun akan datang.
"Saya menyeru seru semua pengundi untuk keluar mengundi, khususnya pengundi pertama kali…. laksanakan tanggungjawab untuk mengundi dan pilih kerajaan yang tepat untuk memastikan kestabilan serta kemakmuran negara," katanya.
Naib Presiden UMNO yang juga calon BN di Parlimen Bera berkata demikian ketika ditemui sejurus selesai mengundi di pusat mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Kerayong, di Bera jam 10.27 pagi tadi.
Berdasarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sejumlah 50 peratus pengundi keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing sehingga jam 1 tengah hari tadi.
Dalam pada itu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, merayu rakyat negara ini untuk keluar mengundi hari ini.
Calon BN Parlimen Bagan Datuk itu berkata, hanya dengan mandat mutlak daripada rakyat, kerajaan yang stabil dapat dibentuk selepas PRU15.
Beliau berkata, pengundi hari ini juga bakal menentukan masa hadapan negara untuk tempoh lima tahun akan datang.
"BN terbukti mempunyai rekod pentadbiran yang baik, di samping menjaga kebajikan rakyat.
"Moga cuaca hari ini tidak mendung seperti semalam dan mudah untuk rakyat menunaikan tanggungjawab mereka mengundi," katanya selepas selesai mengundi di Madrasah Manbail Ulum, Sungai Nipah Darat, di sini.