KUCHING: Penduduk di pedalaman utara Sarawak tetap menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi walaupun banjir melanda kampung mereka, hari ini.
Hingga tengah hari ini, empat pusat pengundian bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di utara Sarawak dilaporkan dilanda banjir.
Bagaimanapun, difahamkan pengundian diteruskan di lokasi terbabit dengan pengundi dibawa menaiki perahu untuk menunaikan tanggungjawab mereka.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, dua daripada pusat pengundian terbabit terletak di Bahagian Limbang manakala dua lagi di Bahagian Miri.
Pusat pengundian di Limbang yang terjejas akibat banjir ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Telahak Dan SK Meritam.
"Di Miri pula membabitkan SK Long Bemang di hulu Baram dan SK Dato' Sarif, Kampung Narum di Marudi," katanya.
Menurutnya, pemantauan pada jam 11 pagi tadi trend air di Sungai Limbang didapati semakin menaik dan pemantauan berterusan dijalankan bagi memastikan keselamatan penduduk khususnya yang keluar mengundi.
Sementara itu, penduduk Long Bemang di hulu Baram tidak melepaskan peluang untuk mengundi walaupun kampung mereka dilanda banjir buat kali kesembilan, tahun ini.
Pengundi dibawa menaiki perahu penduduk kampung untuk ke pusat mengundi yang terletak di SK Long Bemang.