Sabtu, 19 November 2022 | 12:31pm
Gambar hiasan. - Foto NSTP/Azrul Edham
Gambar hiasan. - Foto NSTP/Azrul Edham

Keputusan bijak pengundi hari ini tentukan kerajaan tepat harungi 'ribut' tahun depan

PILIHAN Raya Umum Ke-15 (PRU15) hari ini adalah bagi memilih parti atau gabungan parti untuk mengurus tadbir negara dan tiga negeri mengadakan pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi tempoh lima tahun akan datang.

Pada peringkat nasional pengundi juga akan memilih calon Perdana Menteri untuk mengetuai kerajaan Persekutuan, manakala pada peringkat DUN menentukan siapa bakal Menteri Besar Perlis, Perak dan Pahang.

Tahun depan, enam lagi negeri akan mengadakan pilihan raya DUN, manakala pada 2027, kita akan sekali lagi perlu mengundi. Untuk kali ini 21.1 juta pengundi akan membuat pilihan untuk menentukan mereka yang akan menerajui negara.

Apa yang rakyat harapkan, untuk tempoh lima tahun akan datang, Malaysia dipimpin Perdana Menteri dan kerajaan berupaya mengharungi pelbagai cabaran mendatang.

Keputusan dibuat pengundi akan menentukan pembentukan kerajaan yang akan mentadbir negara, terutama menghadapi ribut ekonomi global dijangkakan melanda dunia tahun hadapan dan pemulihan negara pasca pandemik COVID-19 yang sebelum ini diburukkan lagi dengan ketegangan geopolitik, inflasi dan krisis makanan.

Tidak ketinggalan, tadbir urus terbaik dan akauntabiliti yang amat penting serta kestabilan politik yang tercalar selepas PRU14 pada 2018, selain mempamerkan integriti dan mengatasi isu sentimen perkauman dan agama.

Jika calon dianggap 'raja sehari' pada hari penamaan 5 November lalu, hari ini pengundi menjadi 'raja' menentukan siapa dan gabungan parti manakah yang memenangi 'Ibu Segala Pilihan Raya 2.0' ini.

Kempen sepanjang dua minggu menyaksikan bukan sahaja Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) membentangkan manifesto, malah parti kecil dan calon Bebas pun tidak terlepas mengemukakan tawaran masing-masing untuk menawan hati lebih 21 juta pengundi, termasuk kelompok pengundi berusia 18 hingga 20 tahun.

Calon pula merentasi pelbagai demografi daripada paling tua berusia 90-an dan berpengalaman dalam politik hingga semuda 20-an serta dianggap setahun jagung dengan pelbagai latar belakang pendidikan, kepakaran dan sifat. Namun, paling penting adalah idea, integriti dan insaniah yang mereka miliki.

Mesej sudah disampaikan

Kita dapat lihat calon dan jentera bukan sahaja keluar masuk pasar, taman perumahan dan kampung serta turun naik pangsapuri, bahkan menggunakan media sosial daripada Facebook, Twitter, Instagram, YouTube dan TikTok.

Mereka mengadakan ceramah besar, berkelompok dan kecil-kecilan atau bertemu dengan rakyat pelbagai lapisan usia, bangsa dan status sosioekonomi, bahkan ada yang sampai menari dan menyanyi demi menyampaikan mesej kepada pengundi.

Justeru, semua manifesto, tawaran dan janji dikemukakan dalam kempen bentuk tradisional, konvensional serta teknologi baharu itu diyakini sudah sampai kepada semua rakyat yang layak mengundi.

Malah, BH terutama dalam tempoh dua minggu ini juga melaporkan kempen bukan sahaja daripada gabungan parti utama, bahkan parti kecil dan calon Bebas, sama ada dalam versi cetak mahupun dalam talian, selain menghidangkan ulasan ahli akademik serta penganalisis politik yang seimbang dan mendalam terhadap senario PRU15.

Ini semua adalah untuk rakyat menjadi pengundi bermaklumat dan berpengetahuan terhadap semua aspek pilihan raya, calon, parti bertanding, manifesto serta janji ditawarkan.

Maka, tibalah masa untuk pengundi membuat keputusan pada hari ini berdasarkan semua maklumat yang bukan sahaja diterima, dicerakin dan dirumuskan sepanjang tempoh dua minggu ini, bahkan pengamatan serta pandangan terhadap apa berlaku dalam tempoh hampir lima tahun sejak PRU14 serta pengalaman sebelum itu lagi.

Undian diberikan setiap rakyat layak mengundi akan menentukan kerajaan baharu bakal dibentuk dan calon akan mewakili mereka dalam penggal Parlimen dan DUN tiga negeri akan datang.

Malah, undian diberikan juga akan menjawab sejauh mana sesuatu gabungan parti diterima rakyat. Ia secara tidak langsung adalah referendum terhadap tindakan politik parti dalam tempoh hampir lima tahun ini serta tingkah laku mereka, selain menentukan nasib ahli politik, terutama yang lebih separuh abad berkecimpung dalam politik.

Apapun, kita mengharapkan gabungan parti dapat membentuk kerajaan tidak kira bagaimana komposisinya atau pihak mana yang terpaksa berpuas hati menjadi pembangkang, memastikan senario politik pasca PRU15 jauh lebih baik daripada apa kita saksikan dalam tempoh empat tahun lalu.

Bagi rakyat pula, kita perlu kembali menjadi bangsa Malaysia, bukannya terbelah kepada warna parti dan melaksanakan tanggungjawab sebagai warga negara serta pemerhati semak dan imbang yang merekodkan sejauh mana kerajaan atau pembangkang menunaikan amanah masing-masing.

Selamat mengundi. Undilah dengan bijak demi masa depan negara.

Berita Harian X