KUANTAN: Pengundian bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), hari ini, ditangguhkan berikutan kematian calon daripada Perikatan Nasional (PN), Md Yunus Ramli, awal pagi tadi.
Perkara itu disahkan Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pahang, Datuk Zamree Hamli, ketika dihubungi.
Beliau berkata, susulan kematian calon terbabit, pengundian bagi kerusi DUN Tioman ditangguhkan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Sementara itu Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Rompin, Datuk Ahmad Nasim Mohd Sidek, dalam satu kenyataan pula memaklumkan pengundian hari ini hanya untuk Parlimen Rompin, DUN Bukit Ibam dan DUN Muadzam Shah.
"Pengeluaran kertas undi bagi DUN Tioman ditangguhkan buat masa ini. Maklumat lanjut akan dikeluarkan SPR dari semasa ke semasa," katanya.
Terdahulu, media melaporkan Md Yunus disahkan meninggal dunia jam 3.30 pagi tadi ketika menerima rawatan di Hospital Rompin.
Semalam, SPR menetapkan pengundian PRU15 bagi kerusi Parlimen Padang Serai, ditunda ke 7 Disember depan berikutan kematian seorang calonnya daripada Pakatan Harapan (PH), M Karupaiya yang juga penyandang kerusi Parlimen itu, Rabu lalu.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, dipetik berkata justeru hari penamaan calon bagi kerusi Parlimen Padang Serai ditetapkan pada 24 November ini, manakala hari mengundi awal pula 3 Disember.