Sabtu, 19 November 2022 | 7:22am

PRU15: Lebih 20 juta pengundi tentukan mandat hari ini

KUALA LUMPUR: Lebih 20 juta pemilih berdaftar akan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), hari ini, bagi menentukan wakil rakyat kawasan masing-masing untuk tempoh lima tahun seterusnya.

Turut diadakan serentak ialah pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah, yang tertangguh susulan proklamasi darurat bagi mencegah penularan COVID-19.

Pusat mengundi di Semenanjung akan dibuka mulai 8 pagi ini, manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan pula jam 7.30 pagi.

Mengikut Warta Kerajaan mengenai penetapan waktu mengundi PRU15 yang dimuat naik dalam laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pusat mengundi di Semenanjung akan ditutup secara berperingkat antara jam 12 tengah hari hingga 6 petang.

Namun, ada pusat mengundi akan ditutup lebih awal, antaranya Balai Raya Pulau Besar dalam daerah mengundi Pulau Besar di Johor yang hanya mempunyai satu tempat mengundi, akan ditutup pada jam 11 pagi.

Di Sabah, Sarawak dan Labuan pula pusat mengundi akan ditutup antara jam 11 pagi hingga 5.30 petang.

Menurut kenyataan SPR pada 20 Oktober lalu, sebanyak 8,958 pusat mengundi biasa yang mempunyai 38,348 tempat mengundi, akan dibuka di seluruh negara untuk PRU15.

Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang digunakan untuk PRU15, mengandungi seramai 21,173,638 pemilih terdiri daripada 20,853,681 pengundi biasa, 146,737 tentera serta pasangan, 118,794 polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan, dan 2,741 pengundi tidak hadir luar negara.

Sejumlah 1,393,549 juta pengundi berusia antara 18 hingga 20 tahun akan mengundi buat kali pertama pada PRU15 susulan pelaksanaan Undi18.

Pengundian awal telah berlangsung pada Selasa lalu yang menyaksikan 94.72 peratus atau 212,961 pengundi membabitkan anggota keselamatan dan pasangan melaksanakan tanggungjawab mereka.

Dalam pada itu, pilihan raya bagi Parlimen Padang Serai, Kedah, tidak akan diadakan bersekali dengan PRU15, hari ini, susulan kematian calon Pakatan Harapan (PH) yang juga penyandang kerusi itu, M Karupaiya, Rabu lalu.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, dalam kenyataan semalam berkata PRU15 bagi Parlimen itu ditetapkan pada 7 Disember depan, manakala hari penamaan calon pada 24 November dan hari mengundi awal pula 3 Disember.

Selepas proses penamaan calon PRU15 pada 5 November lalu, seramai 945 calon disahkan layak bertanding untuk merebut 222 kerusi Parlimen seluruh negara, yang teramai dalam rekod Pilihan Raya Umum negara.

Berikutan pilihan raya Parlimen Padang Serai diadakan berasingan, seramai 939 calon akan bertanding hari ini bagi merebut 221 kerusi Parlimen.

Karupaiya, 69, sepatutnya menghadapi saingan enam penjuru menentang lima lagi calon, iaitu Hamzah Abd Rahman (PEJUANG), Datuk C Sivaraajh (Barisan Nasional), Mohd Bakhri Hashim (WARISAN), Datuk Azman Nasrudin (Perikatan Nasional) dan calon Bebas, Sreanandha Rao, pada PRU15.

Sementara itu, seramai 441 calon akan bersaing untuk merebut 117 kerusi DUN di Perak, Pahang, Perlis dan kerusi N66 Bugaya.

Bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan COVID-19, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata pengundi yang positif COVID-19 perlu melaporkan status kesihatan mereka dalam aplikasi MySejahtera masing-masing untuk mendapatkan pemakluman mengenai garis panduan mengundi.

Mereka juga wajib memakai pelitup muka dan tidak dibenarkan menaiki kenderaan awam, termasuk e-hailing. Pemakaian pelitup muka bagi pengundi lain pula amat digalakkan.

Dalam pada itu, SPR dalam kenyataan pada Isnin lalu memaklumkan bahawa penggunaan telefon bimbit di tempat mengundi adalah tidak dibenarkan pada PRU15.

Menurut SPR, pengundi yang membawa telefon bimbit perlu meletakkan gajet itu di tempat disediakan selepas menerima kertas undi dan mengambilnya semula selepas selesai mengundi.

Sebagai peringatan, notis dan poster larangan penggunaan telefon bimbit akan diletak di luar dan dalam tempat mengundi. – BERNAMA

FOTO BERNAMA
FOTO BERNAMA
Berita Harian X